PETALING JAYA – Kumpulan Forteen menjelaskan terpaksa mengelak daripada bertemu peminat selepas selesai persembahan Separuh Akhir Muzik Muzik 29 pada 28 November lalu kerana salah seorang anggota iaitu Izzue Islam perlu bergegas ke lokasi penggambaran drama.
Anggotanya, One atau nama sebenar Muhammad Ridzuan Sharifuddin, 25, berkata, mereka menghormati komitmen pelakon itu yang terpaksa mencuri masa untuk membuat persembahan pada malam tersebut.
“Kami mengelak jumpa peminat kerana Izzue perlu bergegas ke lokasi penggambaran drama, kami hargai komitmen Izzue yang terpaksa mencuri masa untuk bersama kami membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik Muzik 29 itu.
“Disebabkan kami datang dengan menaiki kenderaan yang sama, jadi perlu bergerak sekali, itu bukan kerana kami sengaja tidak mahu bertemu peminat,” ujarnya kepada mStar Online.
One berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan kumpulan itu yang telah mengecewakan peminat-peminat mereka apabila menunggu di pintu masuk Sri Pentas 2, selepas siaran langsung program itu.
Kumpulan itu dikatakan menggunakan pintu belakang pentas bagi mengelakkan dikerumuni peminat-peminat mereka selepas selesai persembahan.
Tambah One, selain Izzue, dia juga dalam keadaan tidak berapa sihat untuk beramah mesra dengan peminat.
“Saya pun ketika itu demam dan bukan masa yang sesuai untuk berjumpa dengan peminat. Kalau saya lebih lama di sana mungkin boleh pengsan,” ujarnya.
Bagaimanapun, One berkata, mereka sudah memberitahu dan meminta maaf kepada peminat-peminat yang sanggup menunggu untuk bertemu dengan Forteen.
Katanya, Forteen banyak mengatur perjumpaan bersama peminat-peminat mereka sebelum ini sebagai menghargai tanda sokongan mereka.
Ahli kumpulan tersebut turut dianggotai oleh Aris dan Ameer. – mStar Online