Ahok gemar menghabiskan masa percutian di Pulau Belitung Timur dengan mandi di laut yang keadaan airnya tenang daripada ombak besar.
JAKARTA – Kehilangan secara misteri pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 sejak Ahad lalu dan dipercayai mungkin ‘berakhir’ di perairan Pulau Bangka Belitung tenggara Sumatera turut memberi kesan mendalam kepada Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama.
Pada sidang media di pejabatnya di Balai Kota semalam, beliau yang lebih mesra disebut sebagai Ahok menceritakan pengalamannya pernah bertugas sebagai Bupati atau pemerintah daerah di Pulau Belitung Timur yang terletak dalam wilayah Bangka Belitung.
Beliau kebetulan lahir di Manggar pada 1966, sebuah perkampungan di Belitung dan membesar di sana malah dilantik sebagai Bupati dari 2005 sehingga 2006 sebelum menjadi anggota dewan perwakilan rakyat kawasan Bangka Belitung dari 2009 sehingga 2012.
“Saya tidak tahu banyak cerita mengenai insiden pesawat malang itu walaupun ia mungkin ‘berada’ di kawasan kampung halaman saya sendiri, namun setiap kali balik ke sana dengan menaiki kapal terbang, segala-galanya ok sahaja,†kata Ahok apabila ditanya pemberita.
Pesawat tersebut yang dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura dengan membawa 155 penumpang dan enam anak kapal dilaporkan hilang tanpa sebab ketika menghampiri Belitung Timur kira-kira pukul 7.24 pagi (8.24 pagi waktu Malaysia) pada Ahad.
Secara kebetulan, adik beliau, Basuri Tjahaja Purnama, kini ialah bupati di Belitung Timur dan terlibat secara penuh mengetuai operasi semua agensi tempatan di sana dalam pencarian pesawat jenis Airbus A320-200 dengan nombor pendaftaran PK-AXC itu.
“Dia bupati, dia kena tanggung jawablah semua pihak, di situ dia jadi tuan rumah, dia harus siapkan semua kerja,” ujar Ahok yang kali terakhir pulang ke sana bercuti selama dua hari pada minggu lalu bagi menyambut Krismas bersama-sama semua ahli keluarganya.
Secara berjenaka, Ahok berkata, beliau belum pernah lagi mengalami kejadian aneh setiap kali menaiki kapal terbang berulang-alik dari Belitung walaupun ada mendengar cerita penduduk tempatan mengenai mistik alam ghaib yang mewarnai pulau tersebut.
“Jangan bimbang, di situ memang banyak jin dan mereka juga baik-baik belaka,†katanya secara ringkas ketika disoal kemungkinan ada makhluk halus cuba melindungi bangkai pesawat AirAsia Indonesia itu terhempas daripada dilihat anggota pasukan penyelamat
Ahok dikenali masyarakat tempatan sebagai sering menghabiskan percutian bersama-sama dengan ahli-ahli keluarga dan saudara mara di Pulau Belitung Timur termasuk mandi di laut tenang kerana kawasan perairan di sana ombaknya tidak begitu besar. – Agensi
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w