KUALA LUMPUR – Polis diminta mengambil tindakan tegas terhadap penyokong Malaysia yang mencederakan penyokong Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014, Ahad lepas.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang kesal dengan insiden itu berkata, tindakan harus diambil sebelum skuad Harimau Malaya bertemu semula dengan pasukan Vietnam pada aksi separuh akhir kedua, di Hanoi Khamis ini.
“Saya sendiri telah memohon maaf kepada penyokong Vietnam dan juga telah hubungi Duta Vietnam, kita kena mengakui kita salah, dan tindakan pantas perlu diambil,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Yahaya ingin tahu apakah langkah-langkah yang diambil kementerian untuk memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan.
Pada perlawanan di Stadium Shah Alam itu, skuad Harimau Malaysia kalah 2-1 kepada Vietnam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, berkata seramai 160,970 siswazah institusi pengajian tinggi negara masih menganggur tetapi aktif mencari pekerjaan, sehingga 5 November lepas.
“Dalam masa yang sama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) juga berjaya menempatkan seramai 47,559 siswazah ke alam pekerjaan,” katanya menjawab soalan Yahaya mengenai bilangan golongan itu yang masih menganggur.
Ismail berkata, pengangguran siswazah di negara ini bukan disebabkan mutu pendidikan yang diterima rendah.
“Kualiti pendidikan yang diperoleh sudah cukup baik malah tidak kurang hebatnya untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan dunia.
Akan tetapi, kebanyakan mereka yang menganggur adalah siswazah yang baru tamat pengajian dan ini memang kebiasaan apabila mereka dalam proses transisi mencari pekerjaan,” katanya. – BERNAMA