Siapa sangka, seorang individu yang hidup ‘berbumbungkan langit, berdindingkan angin’, masih memikirkan kesusahan pihak lain daripada dirinya sendiri!
Warga emas berusia 81 tahun itu menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, namun memilih untuk mendermakan kesemua dana bantuan kepada golongan daif.
Ujar Manayi Ibrahim, pegawai JKM kepada akhbar Harian Metro, “Siasatan mendapati warga emas berkenaan gemar membelikan makanan kepada golongan berkenaan dengan hasil bantuan diperolehnya itu.
Sebelum ini dia pernah dimasukkan ke Rumah Seri Kenangan (RSK) selepas diselamatkan JKM kerana hidup bergelandangan.”
Tambah Manayi, walaupun ditawarkan tempat tinggal oleh anak saudaranya, namun lelaki itu tetap memilih cara hidup seperti itu.
Warga emas itu antara 14 individu yang diselamatkan pihak JKM dalam operasi bersepadu menangani gelandangan dan pendatang asing tanpa izin (Pati) bersama Jabatan Imigresen, PDRM, Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB) serta JKM sendiri.
Kesemua gelandangan yang mempunyai waris dibebaskan dengan amaran sementara yang tidak memiliki waris, dihantar sementara ke Rumah Seri Kenangan (RSK).
Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain. Semoga berita ini menjadi iktibar buat masyarakat di luar sana. Nak menderma bukan hanya apabila seseorang itu berduit dan kaya sahaja, ya! – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR