GEORGETOWN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sedang mengumpul maklum balas daripada orang ramai bagi menambah baik pelaksanaan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) pada masa hadapan.
Ketua Penerangannya Mohd Adib Anas Md Noor menyifatkan keputusan PT3 yang diumumkan baru-baru ini, sebagai eksperimen berjaya dan membuka dimensi baharu hala tuju pendidikan negara dalam jangka panjang.
“Ia permulaan baik dan berupaya menjadi penanda aras pada tahap mana pemikiran pelajar kita sekarang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata masyarakat tidak wajar melihat pencapaian PT3 itu sebagai pengakhiran masa depan pelajar sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi untuk memajukan diri.
GPMS turut berpendapat Kementerian Pendidikan perlu memberi penerangan terperinci mengenai format penilaian dan pemarkahan PT3 kepada ibu bapa supaya tidak timbul salah faham selain mendedahkan mereka kepada situasi pendidikan semasa, katanya.
Mohd Adib yang juga bekas guru sebuah sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur, berkata sistem seumpama itu sudah lama dipraktikkan di negara maju dan ia terbukti berupaya menggilap kemahiran berfikir aras tinggi pelajar.
Beliau berkata orang ramai boleh mengemukakan cadangan, kritikan dan komen mengenai PT3 menerusi [email protected] yang diwujudkan sejak semalam.
“Kami mengendalikan kajian soal selidik bagi mendapatkan maklum balas lebih pantas dan akan menyerahkan dapatan maklumat itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh sebulan,” katanya. – BERNAMA