KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) yang baharu Christoph Mueller diingatkan supaya tidak mengambil langkah mudah dalam memulihkan prestasi kewangan MAS dengan membuang seramai 6,000 kakitangan syarikat penerbangan itu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Mueller tidak boleh menyalahkan kakitangan syarikat itu berikutan prestasi buruk dicatatkan MAS selama ini sebaliknya memberi tumpuan terhadap salah urus syarikat itu terlebih dahulu.
Sehubungan itu, beliau mahu terma dan faedah ke atas Ketua Pegawai Eksekutif MAS baharu tersebut didedahkan kepada umum bagi memastikan komitmen pengurusan MAS terhadap ketelusan dan tanggungjawab selepas ini.
“Pada waktu warga tempatan dan asing yang terbaik dilantik dalam syarikat penerbangan AirAsia, MAS pula mengamalkan kaedah salah dengan tidak mengenakan tindakan dan kadang-kala mengangkat tingkah laku yang tidak baik,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mueller dilantik sebagai CEO mas yang baharu berkuatkuasa 1 Januari 2015 di bawah pelan pemulihan MAS.
Selain Mueller, Khazanah turut mengumumkan pelantikan CEO dan Pengarah Axiata Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.