Anugerah Skrin 2014 baru-baru ini menyaksikan pelakon cilik Puteri Balqis Azizi, 7 tahun mencipta rekod baru dunia lakonan tempatan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi drama Balqis.
Susulan itu ada yang seolah-olah mempertikaikan anugerah tersebut diberikan kepadanya atas alasan kategori yang tak kena dengan usia.
Bagaimanapun semalam, Balqis membuktikan dia sememangnya layak menerima anugerah tersebut apabila berjaya meraih anugerah di peringkat lebih tinggi iaitu Pelakon Wanita Terbaik, kali ini di peringkat Asia!
Bertempat di Marina Bay Sands Expo & Convention Hall, Singapura 239 pelakon dari 13 negara yang tercalon dalam 38 kategori, berkumpul semalam untuk merebut trofi Asean Television Awards 2014 (ATA19).
Salah seorangnya terselit si kecil Puteri Balqis mewakili Malaysia bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di samping lima calon lain yang jauh lebih berusia dan berpengalaman daripadanya iaitu Joan Chen (Singapura), Tien Hsin (Taiwan), Kristal Tin (Hong Kong), Rui En (Singapura) dan Ko Shu-Chin (Taiwan).
Siapa sangka, pemenangnya diumumkan adalah Puteri Balqis!
Kredibiliti juri anugerah berprestij ini tak perlu dipertikaikan malah keputusan diaudit oleh firma antarabangsa PricewaterhouseCoopers.
Tahniah kami ucapkan kepada Balqis kerana pada usia kecil sudah mengharumkan nama negara dengan bakat besarnya. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: REM RAMZI