KUALA LUMPUR – Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara akan menambah kemasukan penuntut sehingga 15,000 orang menjelang 2015.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata kapasiti itu berdasarkan keperluan semasa apabila terdapat banyak belia yang tercicir dalam pelajaran dan menganggur.
“Memandangkan perkara ini cukup serius (keciciran dan pengangguran belia), IKBN telah tambah pengambilan yang sebelum ini hanya kira-kira 7,000 penuntut boleh masuk dalam satu-satu masa.
“Tetapi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin telah arahkan IKBN di seluruh negara adakan dua syif mulai 2015 yang mana kita boleh tampung 15,000 belia setiap kali,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani yang ingin tahu apakah perancangan kementerian terhadap belia yang tidak bekerja.
Saravanan berkata kementerian optimis pertambahan kapasiti kemasukan penuntut itu akan memberi peluang kepada lebih banyak belia mendapatkan kemahiran dan mengurangkan pengangguran. – BERNAMA