DALAM pada menanti kehangatan pusingan akhir Piala Suzuki AFF 2014 yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Bukit Jalil, muncul sindiran kurang enak daripada peminat bola sepak kepada beberapa pemain Harimau Malaya.
Kontroversi tercetus apabila gambar beberapa pemain tersebar di media sosial, masing-masing dilihat telah memotong rambut gaya baharu.
Malangnya gaya rambut tersebut tidak disenangi hingga mereka ditegur oleh segelintir peminat yang mendakwa, gaya rambut seumpama itu yang dikenali sebagai ‘qaza’ dilarang oleh Islam.
Terkesan dengan teguran itu, penyerang Harimau Malaya Indra Putra Mahyuddin, 33, bertindak membotakkan terus kepalanya lalu meminta maaf kepada peminat menerusi akaun Instagram yang turut disertai status “Abang BOTAK kembali – Semoga Allah bersama sy!”
Sikap Indra Putra yang begitu terbuka menerima teguran ini dipuji ramai peminat hingga rata-rata komen berpendapat, dia patut dijadikan contoh kepada pemain bola sepak lain.
Meskipun hebat dilanda kontroversi sama seperti pemain lain, nyata.. pemain ini bijak mengendalikannya.
Sementara itu, peminat bola tempatan yang begitu teruja dengan semangat Indra Putra terhadap perlawanan malam ini beramai-ramai mendoakan agar negara dapat merangkul Piala Suzuki AFF 2014.
Untuk makluman anda, setakat ini Indra sudah mengumpul 16 gol daripada 49 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak 2002.
Sama-sama kita nantikan perlawanan antara Malaysia dan Thailand di Stadium Bukit Jalil, malam ini.- MYNEWSHUB.CC
Oleh : FARAH