LANGKAWI – Industri pelancongan semakin kompetitif yang memerlukan pihak terbabit melakukan inovasi bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata persekitaran dunia kini berdepan daya inovasi yang mampu berubah dan menyaksikan kehadiran model serta produk pelancongan baharu.
Berikutan itu, katanya destinasi pelancongan di negara ini seperti Langkawi terpaksa berdaya saing dengan pusat percutian serantau lain, bukan hanya untuk segmen pelancong asing tetapi juga pelancong tempatan.
“Langkawi boleh menjadi antara destinasi percutian utama dunia. Langkawi ini diibaratkan sebagai aset paling berharga industri pelancongan Malaysia yang memerlukan usaha berterusan,” katanya berucap pada Langkawi Tourism Awards (LATIA) di Dewan Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini, malam tadi.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan Kedah Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Tan Sr Khalid Ramli.
Mengulas lanjut, Ahmad Husni berkata, Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia terbukti mencapai kejayaan cukup besar dengan pendapatan industri pelancongannya meningkat sebanyak 55 peratus kepada RM4.5 juta bilion pada 2013.
“Jumlah pelaburan industri pelancongan adalah tinggi dengan pelaburan purata dari tahun 2012 hingga 2014 adalah sebanyak RM5.4 bilion. Ini satu petunjuk bahawa para pelabur yakin dengan potensi Langkawi,” katanya.
Sementara itu, sebanyak 17 kategori dengan lima fokus utama dipertandingkan iaitu kategori kemudahan penginapan terbaik 5 Bintang, 4 Bintang dan 3 Bintang.
Kategori restoran pula merangkumi Restoran Terbaik dan Premis F&B Terbaik. Bagi aspek Geopark pula merangkumi Komuniti Taman Geopark Terbaik, Pengalaman Geopark Terbaik dan Amalan Geopark Terbaik.
Aspek produk melibatkan Spa Hotel Terbaik, Tarikan Pelancongan Terbaik, Inap Desa Terbaik dan Perniagaab Bebas Cukai Terbaik.
Perkhidmatan pula merangkumi Pemandu Pelancong Terbaik, Operator Bot Terbaik, Pemandu Teksi Terbaik dan Acara Ikonik Terbaik. – BERNAMA