KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) menandatangani perjanjian usahasama dengan Al-Ikhsan Sdn. Bhd. (Al-Ikhsan) bagi penjualan produk rasmi Harimau Selatan.
PBNJ dalam satu kenyataan memberitahu, perjanjian yang dimeterai hari ini tersebut memberi peluang kepada orang ramai terutama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan pelbagai produk rasmi JDT dengan mudah.
“Melalui perjanjian tersebut, semua produk rasmi JDT akan berada di lebih 30 buah outlet Al-Ikhsan seluruh negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Southern Tigers Sdn. Bhd. dan Al-Ikhsan itu diadakan di Mega Store Al-Ikhsan, Johor Bahru
Antara pemain JDT yang hadir pada majlis itu Aidil Zafuan, Izham Tarmizi, Amirul Hadi Zainal dan dua pemain baharu Junior Eldstal dan S.Chanturu serta Ketua Jurulatih, Bojan Hodak.
Jelas PBNJ, penyokong dan peminat Harimau Selatan sebelum ini menghadapi masalah untuk mendapatkan produk rasmi JDT termasuk majalah Harimau Selatan.