SINGAPURA – Misi mencari pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 diteruskan pada Selasa dengan tentera laut Amerika Syarikat (AS) menyertai operasi tersebut pada hari ketiga.
Kementerian Pertahanan Nasional China turut memberitahu Beijing akan menghantar pesawat dan kapal untuk menyertai operasi mengesan pesawat QZ8501.
Menurut laporan The Guardian, USS Sampson diberi kuasa untuk menyertai misi tersebut.
Tentera Laut AS sedang bekerjasama dengan kerajaan Indonesia untuk mengenal pasti ‘keupayaan jentera tambahan’ yang terbaik bagi membantu usaha pencarian mereka.
USS Sampson, kapal pemusnah peluru berpandu berpangkalan di San Diego dijangka tiba di lokasi nahas pada Selasa.
Kapal perang AS itu turut menyertai beberapa kapal lain, pesawat dan helikopter dari pelbagai negara termasuk Malaysia.
Kawasan pencarian turut diperluas ke darat yang membabitkan bahagian barat wilayah Kalimantan Barat.
Pesawat QZ8501 hilang dari radar pada pagi Ahad, 42 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Surabaya menuju ke Singapura. – mStar Online
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w