LABUAN – Kementerian Belia dan Sukan mencadangkan Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah memperkenalkan fakulti kejuruteraan minyak dan gas untuk membantu belia mendapatkan pekerjaan dalam sektor minyak dan gas.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, usaha sedang dibuat untuk mencadangkan lebih banyak program peningkatan kemahiran belia diperkenal di institusi-institusi latihan kemahiran seperti kolej vokasional dan institut perindustrian.
“Belia Malaysia patut mengambil peluang daripada ledakan sektor minyak dan gas kini dan bukan setakat menjadi pemerhati sahaja.
“Saya telah diberi penerangan oleh anggota Parlimen Labuan mengenai perkembangan sektor minyak dan gas di Labuan, tetapi rakyat tempatan, terutama belia masih duduk atas pagar,” katanya pada sidang akhbar selepas lawatan rasmi di Kompleks Sukan Labuan di sini hari ini.
Khairy berkata, kerajaan sedar akan perkembangan positif dalam sektor tenaga dan industri berkaitan seperti perkapalan dan perkhidmatan minyak dan gas di Labuan.
“Oleh itu peluang harus dibuka kepada para belia tempatan, dengan lebih banyak program peningkatan kemahiran disediakan untuk mereka pada masa depan, ia akan membantu negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran untuk berkhidmat dalam pelbagai industri,” katanya. – BERNAMA