KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengeluarkan satu kenyataan bagi menjawab kritikan Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joseph Biden terhadap langkah Malaysia mengekalkan Akta Hasutan 1948.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, langkah Malaysia mengekalkan dan memperkuatkan Akta Hasutan demi mengekalkan keamanan dan kestabilan negara ini yang terdiri daripada berbilang bangsa dan budaya.
“Adalah menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia untuk melindungi pertumbuhan negara dan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negara ini.
“Oleh itu undang-undang yang sesuai perlu ada untuk menangani isu-isu yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama serta membendung perbuatan memudaratkan yang boleh menjejaskan keharmonian yang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anifah berkata, kerajaan Malaysia yakin Akta Hasutan dapat melindungi kepentingan setiap rakyat negara ini selain dapat mengekang ancaman ekstremis kaum dan agama.
Naib Presiden Amerika Syarikat itu semalam menerusi Twitter mengkritik langkah kerajaan Malaysia mengekalkan Akta Hasutan yang didakwa bertujuan menyekat pembangkang.
Biden bagaimanapun menyifatkan keputusan rayuan pertuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti adalah peluang utama untuk Malaysia “membetulkan keadaan serta menonjolkan keyakinan terhadap demokrasi dan kehakiman”.