Anugerah Industri Muzik ke-21 kembali lagi apabila malam ini, ia bakal mengumumkan penerima anugerah bagi beberapa kategori penting yang mengiktiraf bakat dan pencapaian pemuzik tanah air.
Seperti dijangka, penyanyi terulung Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza memberi saingan sengit apabila tercalon dalam lapan kategori.
Beliau yang baru hadir dengan album studio ke-16 pada Ramadan lalu berjudul Fragmen, turut mempertaruhkan album rakaman konsert tradisionalnya, Konsert Lentera Timur Bersama Orkestra Tradisional Malaysia yang tercalon dalam dua kategori.
Melalui kategori yang ditunggu-tunggu iaitu vokal wanita terbaik, Siti (melalui lagu Lebih Indah) dicabar oleh bakat-bakat besar seperti Liza Hanim (Egoismu), Shila Amzah (Masih Aku Cinta), Adira (Hilang) dan Poova (Just Another Day).
Kategori vokal lelaki terbaik juga menyaksikan pertandingan sengit muka baru dalam industri muzik iaitu Ahmad Ahmad (Dah), Akim Ahmad (Mewangi), Faizul Sany (Perempuan), Kroll (Ruang Hati) dan Riz Zaizizi (Sempurnakanlah Aku dan Dia).
Joe Flizzow juga tidak memberi laluan mudah buat pemuzik lain apabila tercalon dalam enam kategori, termasuk dua pencalonan untuk lagu duetnya dengan kumpulan Sleeq, Tepi Sikit.
Selain itu, antara kategori lain yang dipertandingkan adalah vokal terbaik berkumpulan, lagu pop terbaik, lagu hip hop terbaik, lagu rock terbaik, artis baru terbaik, artis inggeris tempatan terbaik dan album terbaik.
Buat peminat dan penyokong industri muzik tempatan, jangan lupa saksikan Anugerah Industri Muzik yang mengangkat tema ‘Lagu Kita Menawan Jiwa’ pada malam ini, bersiaran di Astro Ria dan Maya HD, pada jam 8.30 malam. – MYNEWSHUB.CC