MADRID – Sebuah kereta api barang antarabangsa semalam muncul menjadi tren pertama terus dari China yang tiba di stesen utama ibu kota Sepanyol dalam satu percubaan untuk mewujudkan operasi perkhidmatan tetap berjadual antara dua negara tersebut.
Kereta api itu dilaporkan berlepas dari Yiwu, sebuah hab borong barangan pengguna terbesar timur China di wilayah Zhejiang; pada 18 November lalu sebelum menempuh perjalanan lebih 13,000 kilometer dalam masa 21 hari dengan melintasi enam buah negara.
Ia sekali gus memecah rekod perjalanan kereta api paling jauh di dunia yang selama ini dipegang Trans-Siberia Railway meliputi jarak 9,289 kilometer menghubungkan ibu kota Rusia, Moscow dengan Vladivostok di penghujung timur jauh Siberia sejak 1916.
Menteri Kerja Raya Sepanyol, Ana Pastor berkata, laluan Yiwu-Madrid itu 10 hari lebih cepat berbanding pengangkutan barang melalui kapal laut malah paling murah dari segi kos selain amat mesra alam dan buat permulaan, sebanyak 40 buah gerabak digunakan.
Perjalanan sulung merentasi Kazakhstan, Rusia, Belarus, Poland, Jerman dan Perancis itu membawa bertan-tan barang permainan kanak-kanan dan peralatan pemotong manakala perjalanan pulang membawa bekalan minuman wain, minyak zaitun dan daging babi.
Gabenor wilayah Zhejiang, Li Qiang berkata, pelaksanaan tren barang terkini itu antara strategi memajukan ‘laluan sutera’ baharu dan kebetulan Madrid sudah dikenali sebagai hab pengedaran barangan antarabangsa untuk masuk ke benua Afrika dan Amerika Latin.
China sebelum ini sudah pun ada perkhidmatan kereta api barang terus ke Jerman melibatkan laluan antara bandar raya Chogqing dengan Duisburg, hab pengangkutan komersial Eropah dan Beijing dengan Hamburg, kota raya kedua terbesar Jerman. – Agensi