KOTA KINABALU – Ketenangan wilayah pantai timur Sabah berkocak pada 2014 berikutan beberapa jenayah culik, yang dilakukan lelaki bersenjata dari selatan Filipina.
Berbeza dengan pencerobohan di Kampung Tanduo di Lahad Datu oleh kumpulan pengganas Sulu yang bertujuan menuntut wilayah, penculik terbabit sebaliknya menuntut wang tebusan.
Empat kes culik berlaku pada 2014 dan hingga kini, nasib dua mangsanya belum diketahui, walaupun polis yakin mereka masih hidup dan dibawa penculik dari satu tempat ke tempat lain di negara itu.
Seorang daripada mangsa, anggota polis marin Konst Zakia Aleip, 26, masih belum dibebaskan setelah diculik dari Mabul Water Bungalow Resort di Pulau Mabul, Semporna dalam kejadian pada 12 Julai, yang menyaksikan rakan setugasnya, Kpl Ab Rajah Jamuan, 32, terbunuh.
Difahamkan, penculik Zakia menuntut RM10 juta untuk membebaskannya.
Lebih kurang sebulan sebelum Zakia diculik, seorang pengusaha ladang ternakan ikan warganegara Malaysia, Chan Sai Chuin, 32, diculik dari ladang ternakan ikannya di Kampung Sapang, Kunak dan dibebaskan pada 9 Dis lepas.
Seorang warga China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort warga Filipina bernama Marcy Dayawan, 40, yang diculik di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira dua batu nautika dari bandar Semporna pada 2 April, dibebaskan pada 30 Mei.
Seorang lagi warganegara China, Yang Zailin, 34, pengurus ladang ternakan ikan yang diculik di Pulau Baik di Lahad Datu pada 6 Mei, diselamatkan pihak berkuasa pada 10 Julai.
Bagi mengekang jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah, Pesuruhjaya Polis baharu negeri ini Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, yang menggantikan Datuk Hamza Taib pada 30 Jun, mengisytiharkan perintah berkurung pada waktu malam mulai 19 Julai di perairan enam daerah yang terdedah kepada kejadian culik – Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau.
Wilayah barat Sabah pula kecoh tentang kemungkinan pembabitan pengganas Sulu dalam tiga kes rompakan bersenjata melibatkan sebuah kedai barang elektrik di Penampang pada 6 Okt, sebuah pasar raya di Kota Kinabalu pada 9 Okt dan sebuah kedai emas di Tuaran pada 16 Okt.
Pada 31 Okt, Jalaluddin memberitahu sidang media bahawa dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam rompakan bersenjata itu ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Penampang Baru dekat sini.
Lelaki Filipina berusia 50 dan 45 tahun itu sebenarnya menjadi buruan polis dan merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCom).
Dalam usaha meningkatkan keselamatan di wilayah pantai timur Sabah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyusunan semula ESSCom pada 8 Julai.
Ia melibatkan penubuhan dua komponen utama – pengurusan penguatkuasaan keselamatan dan pertahanan serta tindakan penguatkuasaan awam dan pelantikan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Esscom DCP Datuk Abd Rashid Harun sebagai Pemerintah Esscom, menggantikan jawatan ketua pengarah Esscom, berkuat kuasa 15 Julai.
Datuk Mohammad Mentek, yang menyandang jawatan ketua pengarah apabila ESSCom ditubuhkan pada 1 April tahun lepas, memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan pada 1 Okt.
Perbicaraan pengganas bersenjata Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas, diadakan di Mahkamah Tinggi, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah di sini mulai 6 Jan.
Sebanyak 27 warganegara Filipina dan tiga rakyat tempatan dihadapkan di mahkamah itu dengan pelbagai tuduhan, termasuk melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, menjadi anggota kumpulan pengganas atau dengan sukarela menganggotai sebuah kumpulan pengganas, merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai sebuah kumpulan pengganas.
Setelah berlangsung selama 100 hari, perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung ditangguhkan pada 9 Dis setelah 58 saksi memberi keterangan dan 74 hari lagi ditetapkan untuk perbicaraan kes berkenaan dari 12 Jan hingga 26 Jun tahun depan.
Sementara itu, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama, akhirnya dikeluarkan pada 3 Dis, dengan beberapa syor dipersetujui kerajaan seperti penubuhan Esscom untuk meningkatkan keselamatan dan menghalang kemasukan orang asing secara haram melalui pantai timur negeri ini.
Ketika mengumumkan laporan setebal 368 muka surat dalam bahasa Inggeris dan 427 muka surat dalam bahasa Malaysia itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tetap untuk menangani perkara berkaitan pendatang asing tanpa izin di Sabah seperti yang disyorkan RCI.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama Ketua Menteri Sabah dan Menteri Dalam Negeri yang akan melaporkan kepada Kabinet persekutuan, yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Di samping itu sebuah Jawatankuasa Kerja, yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, juga akan ditubuhkan bagi meneliti isu yang ditimbulkan dalam laporan itu.
Walaupun beberapa kejadian menggemparkan melanda pantai timur Sabah, namun dengan berkat kesungguhan dan kebijaksanaan kerajaan, wilayah itu kini kembali tenang dan rakyat dapat menjalani kehidupan masing-masing seperti sebelumnya. – BERNAMA