Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT) hari ini mengeluarkan kenyataan mendakwa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin gagal menjadi pejuang Islam sejati kerana tarian Zumba.
Presidennya Ismail Mina Ahmad berkata promosi melampau terhadap sukan bercorak tarian itu disifatkan sebenarnya mendukacitakan banyak organisasi Islam di dalam negara.
“KJ (Khairy) tidak boleh menjadi pejuang Islam kerana menjahanamkan belia dengan Zumba.
MENARIK – FitMalaysia Jenama Negara Sukan – Khairy
“Tidak ada faedahnya membuat sesuatu yang bertentangan dengan Islam…kalau hendak bersenam, banyak lagi perkara yang boleh dibuat untuk mengeluarkan peluh.
“Tidak payahlah hendak Zumba Zumba ini, baca sejarahnya dan fahami misinya yang mahu menggugat kekuatan Islam di dunia sebelum mempraktikkannya,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Ismail membuat kenyataan itu menyokong ucapan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang menempelak empat pemimpin UMNO yang disifatkan tidak berani membela orang Melayu.
Empat pemimpin tersebut adalah Ketua Pemuda UMNO, Khairy, Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Muhamad, bekas anggota majlis tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun.
Zumba merupakan tarian yang dicipta penari dari Colombia dan koreografer Alberto Beto Perez pada awal 90-an.
Ia merupakan tarian yang merangkumi elemen hip-hop, soca, samba, salsa, merenque dan mambo.
Sehingga kini, lebih 14 juta penduduk dunia mengikuti kelas mingguan Zumba yang diadakan di lebih 185 negara. – MYNEWSHUB.CC