BINTULU – Kementerian Pendidikan bersetuju dengan cadangan penubuhan Kolej Teknikal dan Pertanian yang bakal diuruskan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja teknikal dan pertanian di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan Persekutuan akan menyokong penuh inisiatif SPDP itu kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat.
“Saya bersetuju dan beri jaminan akan lulus dengan segera,” katanya semasa merasmikan perhimpunan agung tri-tahunan SPDP di Dewan Suarah Bintulu, di sini hari ini
Terdahulu, Pemangku Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing mengumumkan cadangan penubuhan kolej berkenaan dan dua buah universiti di luar negara menunjukkan minat untuk bekerjasama ke arah itu.
“SPDP telah mengambil satu inisiatif untuk berbincang dengan Universiti Kyoto untuk membina satu kolej teknikal dan satu perjanjian persefahaman kerjasama akan dibuat, sementara sebuah lagi universiti di Taiwan menunjukkan minat dalam bidang pertanian,” katanya. – BERNAMA