Al-Fatihah.. Seorang anggota komando yang bertugas di MALBATT 850-2 dalam Misi United Nations Interim Force (UNIFIL) di Lubnan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika dalam tugas di Kem UNP2-1, Kem Marakah Lubnan, semalam.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota berkenaan Allahyarham Koperal Azman Che Soh, 34, menyertai misi itu sejak 18 September.
 BACA – 844 Anggota Malbatt Dianugerah Pingat PBB
“Ketika itu, dia tidak sedarkan diri dengan tiba-tiba dan dia dibawa ke Hospital Level 1 MALBATT untuk rawatan awal dan apabila arwah masih tidak sedarkan diri, dia kemudiannya dibawa dirujuk ke Hospital Level 1, Naqoura.
“Arwah disahkan sudah meninggal dunia pada 10.45 pagi waktu tempatan dan bedah siasat akan dijalankan esok di Hospital Hariri, Beirut untuk mengenal pasti punca kematiannya,” menurut kenyataan itu.
Pihak kementerian belum dapat memastikan tarikh ketibaan jenazah ke Malaysia bagaimanapun majlis penghormatan jenazah akan diadakan di Pangkalan TUDM Subang pada hari berkenaan sebelum diterbangkan ke Kota Bharu, Kelantan untuk urusan pengebumian. – MYNEWSHUB.CC