KUALA LUMPUR – Hobi mengumpul setem boleh bertukar menjadi pelaburan yang menguntungkan bagi mereka yang bijak memanfaatkannya kerana nilai setem boleh berubah dengan pantas bergantung kepada peredaran masa dan rekaan yang dikeluarkan.
Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata pengumpul setem biasanya akan memilih berdasarkan keunikan yang terdapat pada setem dan tahun cetakan juga memainkan peranan.
“Lagi lama (tahun) ia dikeluarkan, lagi tinggi nilai setem itu,” katanya kepada Bernama pada Pameran Setem Remaja Dunia Kuala Lumpur (KLwyse) 2014 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang berakhir di sini, Sabtu.
KLwyse merupakan pameran setem pertama dan terbesar pernah diadakan di Malaysia dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Persatuan Filateli Malaysia dan Pos Malaysia.
Mengambil contoh koleksi setem pakaian traditional maharaja China bercorak naga yang dikeluarkan Pos Malaysia pada 2012, sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang merupakan antara koleksi yang paling mendapat sambutan, Diyana berkata:
“Koleksi setem itu kami keluarkan sempena Tahun Naga dan ia dijual pada harga RM5 sekeping. Ia memang mendapat sambutan yang menggalakkan kerana Pos Malaysia hanya mengeluarkan 40,000 keping setem ketika itu dan ia habis dijual hanya dalam masa dua jam ia dikeluarkan.
“Lebih mengejutkan kami apabila nilai setem itu naik berlipat kali ganda sehingga ratusan ringgit apabila ia dijual dalam talian pada malam yang sama, ia dikeluarkan,” kata Diyana.
Justeru beliau menggalakkan orang ramai terutama golongan remaja mula menanam minat mengumpul setem untuk pelaburan masa depan.
Dalam pada itu, orang ramai termasuk pelajar dan anggota keluarga dilihat tidak melepaskan peluang untuk hadir pada hari terakhir pameran itu untuk mendapatkan koleksi setem dan bahan filateli masing-masing.
Pelbagai aktiviti turut dijalankan seperti pertandingan lakaran setem dan sesi tandatangan oleh pereka setem Mak Yong dan KY Lim diikuti penyampaian hadiah kepada pemenang.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pos dan Tandatangan Digital SKMM Mohamed Zaidi Abdul Karim berkata, pameran enam hari yang bermula Isnin lepas, berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung.
“Kita menerima sambutan yang sungguh luar biasa sehingga koleksi setem yang dibawa habis dijual sebelum pameran ini tamat,” katanya yang juga berhasrat untuk meneruskan pameran itu pada masa akan datang.
Jelasnya pameran itu juga berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kebaikan hobi mengumpul setem.
“Pameran ini bukan sekadar menggalakkan orang ramai mengumpul setem tetapi ia juga usaha kami untuk meningkatkan semangat patriotik rakyat Malaysia melalui koleksi setem yang mempamerkan budaya dan identiti negara.
Pameran enam hari itu menampilkan kira-kira satu juta setem dari 46 negara dan lebih 300 pempamer. – BERNAMA