KUALA LUMPUR – Kementerian Luar akan melancarkan laman web khas yang menyediakan pelbagai maklumat mengenai Malaysia sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yang baharu bermula 1 Januari 2015.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan media memberitahu, laman web http://asean2015.gov.my itu memberi liputan menyeluruh, maklumat terkini serta berita mengenai acara-acara penting yang akan berlangsung pada tahun 2015 sepanjang tahun depan.
“Laman sesawang ini adalah bertujuan untuk menyediakan capaian yang pantas dan mudah untuk mendapatkan maklumat penting bagi membantu delegasi ASEAN serta negara lain yang berkenaan, media tempatan dan asing dan agensi-agensi lain yang berkenaan untuk melakukan pendaftaran secara dalam talian bagi tujuan pentauliahan dan pengeluaran pas keselamatan.
“Maklumat visual dalam format video dan galeri foto juga akan disediakan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, laman web itu juga berfungsi sebagai landasan bagi program seranta ASEAN untuk menyampaikan maklumat mengenai ASEAN dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Ia bagi meningkatkan kesedaran mengenai organisasi tersebut dan manfaat yang dibawa kepada Komuniti ASEAN selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2015 oleh Malaysia iaitu ASEAN Berpaksikan Rakyat,” kata kenyataan itu.
Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun depan akan menandakan peranan penting negara ini dalam merealisasikan Komuniti ASEAN dan membangunkan Wawasan Pasca 2015.