Seramai lapan kanak-kanak berusia dari bayi sehingga remaja ditemui mati dibunuh di sebuah rumah di bandar Cairns akibat ditikam berkali-kali, hari ini.
Menurut polis bandar berkenaan, sebaik menerima panggilan berkaitan kejadian itu mereka bergegas ke lokasi lalu menemui kesemua mayat mangsa yang berusia dari 18 bulan sehingga 15 tahun, memetik laporan AFP.
Seorang wanita iaitu ibu kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia 34 tahun, turut ditemui cedera parah dalam insiden yang berlaku di pinggir bandar Manoora, kira-kira 10 minit perjalanan dari pusat bandar Cairns itu.
MENARIK – Wajah Dua Mangsa Korban Drama Tebusan ‘Sydney Siege’
MENARIK – Tebusan Sydney : 3 Terbunuh Termasuk Suspek
Polis berkata, wanita itu kini dalam keadaan stabil dan akan membantu pasukan penyiasat mengenalpasti dalang kejadian dan wanita itu dilaporkan tidak ditahan.
Perdana Menteri Australia Tony Abbott menyifatkan kejadian itu satu tragedi yang menyentuh hati, berlaku tidak lama selepas satu lagi tragedi kematian dalam insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney yang meragut nyawa dua tebusan dan suspek.
“Setiap keluarga akan berasa sedih teramat melihat apa yang telah berlaku.
“Ini adalah satu jenayah yang membuatkan mulut tidak mampu berkata apa-apa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan media mengatakan, kanak-kanak berkenaan kesemuanya ditikam namun ada yang melaporkan mereka turut dicekik, bagaimanapun pihak polis belum dapat mengesahkannya.
Menurut laporan Sky News, bapa tiri kesemua adik-beradik itu diketahui tinggal di rumah berkenaan tetapi kini menghilangkan diri.
Inspektor Detektif Cairns Bruno Asnicar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang dengan keselamatan mereka dan kes itu berada dalam kawalan dan siastan polis. Tambahnya masih terlalu awal untuk merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam insiden itu.
“Anda pasti boleh membayangkan betapa banyak kerja yang perlu kami lakukan.

“Kawasan kejadian ketika ini ditutup kepada sesiapa sahaja termasuk saya sehinggalah pihak forensik selesai siasatan,” katanya.
Cairns merupakan sebuah bandar dengan populasi penduduk lebih daripada 150,000 orang dan ia popular sebagai destinasi pelancongan antarabangsa selain pintu masuk ke taman laut Great Barrier Reef.
http://youtu.be/bZElcXQtXjk
Kira-kira sehari sebelum itu, seorang lelaki dari Melbourne telah dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah menyembelih hingga mati dua anak perempuannya berusia tiga dan empat tahun.
Menurut hakim, lelaki itu mendakwa perbuatannya sebagai hukuman kepada bekas isteri.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU KÂÂ