‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’! Oleh kerana tekanan yang diterima dari masyarakat Amerika Syarikat, seorang pembantu ahli kongres Republikan meletakkan jawatannya.
Ceritanya, Elizabeth Lauten telah menerima kecaman setelah mengkritik anak-anak Presiden Amerika, Barrack Obama, supaya memiliki lebih ‘kelas’.
Ia susulan penampilan Malia, 16, dan Sasha, 13, di ketika ucapan bapa mereka bersempena perayaan Hari Kesyukuran di Rumah Putih.
Dalam komentarnya di laman Facebook, dia mengkritik penampilan mereka berdua yang terlalu kasual dan wajah mereka yang kelihatan bosan semasa Obama berucap.
“Kepada Sasha dan Malia; saya faham anda sedang meniti zaman remaja, namun awak sebahagian dari keluarga ‘pertama’, jadi cuba tunjukkan sedikit ‘kelas’. Sekurang-kurangnya hormati kedudukan awak.
Tapi, ibu dan bapa awak juga tidak menghormati kedudukan mereka, ataupun negara. Jadi saya berpendapat kamu tidak mendapat contoh yang baik,” tulisnya.
Beberapa jam kemudiannya, Lauten memadamkan status berkenaan setelah ia mula menjadi viral di laman-laman sosial, dan memohon maaf atas tindakannya itu.
Sayangnya, semua sudah terlambat kerana kebanyakan individu mengeji komennya. Bagi mereka, ia merupakan perilaku normal remaja dan tidak sepatutnya menjadi isu. – MYNEWSHUB.CC