PENYANYI serta komposer berpengalaman, Datuk M. Nasir menyifatkan lagu-lagu yang dicipta kebelakangan ini kurang unsur sensasi dalam gubahan selain komposer dikatakan kekurangan idea untuk mencipta lagu-lagu sebegitu.
“Saya dapati secara keseluruhan, bukan untuk AJL sahaja tapi seluruh dunia mengalami kekurangan idea. Ia adalah fenomena dunia di mana kebanyakan lagu yang dibuat tak ada elemen sensasi,” katanya kepada portal Gua.
M. Nasir turut diminta mengulas mengenai kemenangan besar penyanyi hip hop SonaOne menerusi lagu No More yang dijulang sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-21, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau tidak dapat menilai lagu tersebut kerana kebiasaannya budaya hip hop mencedok lagu yang popular, kemudian digabungkan dengan idea mereka.
“Saya tak tahu kenapa dan susah untuk dinilai mengenai perkara ini. Bagi saya, budaya hip hop biasanya mencedok lagu yang popular dan digabungkan dengan idea mereka. Jadi, saya tak tahu nak nilai macam mana,” katanya.
Ditanya perkembangan terkini, M. Nasir menyatakan beliau dalam proses mengumpul material selepas baharu sahaja menjayakan Konsert Hati Emas Kembara di Istana Budaya, bulan lalu. – MYNEWSHUB.CC