SINGAPURA – Musim tengkujuh selain laut bergelora yang melanda beberapa buah negeri khasnya di Pantai Timur Semenanjung menyebabkan bekalan sayur-sayuran dan ikan jatuh mendadak di pasaran Singapura sejak minggu lalu, lapor media tempatan semalam.
Pemborong di beberapa pasar basah tempatan mendakwa, kekurangan ketara bekalan makanan segar terbabit turut menyebabkan harga melonjak tinggi sehingga mereka terpaksa mengimport dari China, Hong Kong dan Taiwan yang kos jauh lebih mahal.
Seorang peniaga ikan, Leung Teng Foo berkata, harga ikan naik daripada S$4 (RM11) sekilogram kepada paras tertinggi dalam sejarah iaitu mencecah S$7 (RM19) sekilogram ekoran stok bekalan dari Malaysia kurang lebih 30 peratus beberapa hari lalu.
“Saya dimaklumkan tidak ramai nelayan mahu mengambil risiko turun ke laut ekoran cuaca buruk termasuk angin ribut manakala kerajaan Malaysia sekarang mengurangkan eksport bagi memenuhi permintaan besar pasaran domestik terlebih dulu,†katanya.
Turut terjejas teruk bekalan sayur dan seorang peniaga, Annie Woo berkata, hujan lebat walaupun ada kebun tidak mengalami banjir tetapi ia menyebabkan banyak sayur rosak sedangkan peraturan ketat pemerintah Singapura melarang sayur rosak dijual di pasar.
“Kami tidak boleh jual sayur buruk di Singapura kerana ia melanggar standard tempatan malah pelanggan termasuk warga asing pun enggan beli sayur rosak… untuk jangka pendek kami kena import dari China dan negara jirannya walaupun harga mahal,†katanya.
Rakyat Singapura dilaporkan lebih gemar membeli sayur dan ikan dari Malaysia kerana harga lebih murah dan berkualiti bahkan, setiap hujung minggu, pasar-pasar tani dan basah sekitar Johor Bahru menjadi tumpuan warga Singapura membeli-belah barang dapur.
Namun kekurangan bekalan tidak meningkatkan harga terlalu tinggi dan para peniaga mendakwa, situasi masih lagi terkawal kerana ramai rakyat Singapura masih pergi melancong di luar negara khasnya Malaysia sempena cuti panjang akhir tahun. – Agensi