PALEMBANG – Hasrat pasukan memanah Malaysia untuk membolot bersih empat pingat emas tidak tercapai apabila hanya tiga pasukan sahaja yang mencatat kemenangan dalam pertemuan final Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-17 di sini, hari ini.
Trio berpasukan compound wanita, compound lelaki, dan recurve wanita meraih emas dengan menewaskan pencabar mereka – semuanya adalah pasukan tuan rumah, Indonesia.
Gandingan Norhayati Al-Madinah Hashim, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Saritha Chom Nong menepati ramalan menewaskan Dellie Threesayadinda, Ervin Rulis, Yuli Purnama Sari yang menang perak dengan 14-10.
Pasukan Laos terdiri daripada Daophasouk, Amphaiphone, Aip meraih gangsa percuma tanpa bertanding berikutan hanya tiga negara sahaja yang menyertai bagi acara itu.
Bagi trio compound lelaki pula, Ahmad Aliff Fadhulullah Alwi, Ahmad Syafiq Azim Saeri, Lutfil Hadi Mohd Yusof membuat kejutan dalam penampilan pertama mereka mencatat kemenangan menewaskan Yoke Rizaldi Akbar, Catur Wuri AdiNughoro, Suryono Ali dengan mencatat 12-11 untuk emas.
Trio Singapura mengalahkan Laos 10-7 untuk gangsa. Dalam saingan recurve wanita, trio negara terdiri daripada Azuanis Abdullah, Siti Nurul Asiah Mahmod dan Shahira Abdul Halim mudah menewaskan Titik Kusumawardani, Erwina Safitri, Yulia Anggraini 5-1 dalam satu lagi final.
Trio Singapura meraih gangsa percuma apabila hanya tiga negara sahaja yang sertai bagi acara recurve wanita itu.
Namun, Haziq Kamaruddin, Muhammad Shaifuddin Mohd Kamro, Atiq Bazil Bakri terpaksa berpuas hati dengan pencapaian perak selepas kalah kepada trio Indonesia, Riau Ega Salsabila, Muhammad Hanif Wijaya, Irivaldi Annanda Putera dengan mata 2-5.
Gangsa pula menjadi milik Singapura berikutan hanya tiga pasukan sahaja yang menyertai acara itu.
Pengurus pasukan, Suhardi Abdullah berkata secara keseluruhan atlet memanah negara memberikan komitmen tinggi untuk terus mendominasi pungutan pingat pada temasya dwitahunan itu.
“Pasukan compound lelaki negara membuat kejutan, kita tidak meletak sasaran kepada mereka namun, mereka berjaya meraih pingat emas tetapi trio reurve lelaki tidak bernasib baik apabila sekadar pingat perak.
“Tetapi, bagi acara recurve lelaki itu, trio Indonesia menghantar dua atlet elit mereka. Kita hanya ada Haziq sahaja yang mempunyai pengalaman bersaing dalam kejohanan lebih berprestasi tinggi namun, gandingan mereka tetap memberikan saingan sengit hari ini” katanya. – BERNAMA