KUALA LUMPUR – Malindo Air dijangka mencetuskan tambang kompetitif di laluan popular Kuala Lumpur-Singapura dengan pengenalan perkhidmatan penumpang harian, yang diraikan secara rasmi pada satu majlis sambutan di Lapangan Terbang Changi Singapura, hari ini.
Syarikat penerbangan itu yang memulakan operasinya di Terminal 3 (Lapangann Terbang Subang) pada 3 Nov tahun ini, memperkenalkan tiga penerbangan terus harian antara Singapura dan Kuala Lumpur menggunakan pesawat Boeing 737s.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Changi Airport Group (CAG) dan Singapore Airport Terminal Services (SATS) di atas kemurahan hati dan sokongan berterusan mereka mengalu-alukan Malindo Air menyertai keluarga besar syarikat penerbangan mereka di Changi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy dalam satu kenyataan hari ini.
Chandran berkata dengan perkhidmatan penerbangan harian baharu itu, Malindo Air akan menambah 6,800 tempat duduk pergi dan balik setiap minggu kepada laluan tersebut.
“Segmen Singapura-KL sangat popular dengan potensi untuk memajukannya lagi menerusi kapasiti tempat duduk yang lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA