DUNGUN – Oleh kerana hampir saban tahun menjadi mangsa banjir dan terpaksa berpindah, penduduk Taman Rakyat Jaya di sini Rabu membawa sendiri khemah ke pusat ke pusat pemindahan mereka di Majlis Sukan Negara.
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung taman itu, Mustafa Pakir Mohammad berkata langkah tersebuat dibuat bagi memberi lebih keselesaan kepada mereka.
“Idea ini tercetus selepas melihat negara Jepun mempraktikkan penggunaan khemah kepada mangsa bencana. Di sini, cara itu boleh turut menjaga aurat antara bukan muhrim,” katanya.
Beliau berkata penduduk Taman Rakyat Jaya mempraktikkan penggunaan khemah sejak 2006.
“Setiap kali rumah mereka dinaiki air dan terpaksa berpindah, mereka akan membawa khemah bersama mereka,” katanya.
Pihaknya turut menyediakan 30 unit khemah kepada mangsa yang tidak memilikinya, katanya.
Seorang penduduk Puan Awang, 56, berkata dia membeli sendiri khemah untuk digunakan di pusat pemindahan bersama dua orang anak perempuannya. – BERNAMA