BERAT bahu memandang, berat lagi bahu memikul – keadaan banjir di beberapa negeri Pantai Timur dilihat semakin meruncing hingga kebanyakan rumah penduduk sudah ditenggelami air.
Malapetaka ini berada dalam situasi amat membimbangkan apabila di sesetengah kawasan, bantuan gagal dihulur disebabkan cuaca terlalu buruk.
Itu yang menimpa beberapa penduduk di Kampung Lembaga, Gua Musang hingga menyebabkan mereka terpaksa mencari tempat perlindungan di atas bukit sementara menunggu pasukan penyelamat tiba.
Bot pasukan penyelamat dikhabarkan tak dapat memasuki kawasan perkampungan tersebut disebabkan arus terlalu deras, manakala bantuan udara juga tak dapat sampai berikutan ribut dan angin kencang.
Perkara ini dimaklumkan salah seorang saudara mangsa yang sempat mengirimkan mesej menerusi aplikasi WhatsApp, semalam kira-kira pukul 7 malam.
Menerusi mesej tersebut mangsa sempat memohon maaf kepada keluarganya kerana khuatir tak sempat diselamatkan berikutan hujan semakin lebat walaupun bantuan dijangka tiba hari ini.
Mesej mangsa yang tersebar di laman sosial Facebook mengundang perasaan sayu dan simpati orang ramai yang mendoakan moga mangsa dan penduduk lain dapat diselamatkan segera.
Lebih menimbulkan perasaan hiba, mangsa dikatakan baru sahaja lepas bersalin dan kini terkandas bersama keluarga teermasuk bayi yang baru berusia dua bulan, menunggu bantuan di atas bukit.
Setakat ini, kami tak dapat mengesahkan sama ada mangsa dan keluarganya sudah berjaya diselamatkan atau pun tidak.
Sama-samalah kita doakan semoga keluarga ini dan mangsa lain dapat diselamatkan dan dibawa ke tempat perlindungan secepat mungkin. – MYNEWSHUB.CC
VIDEO BANJIR DI KELANTAN DAN PAHANG
Oleh : FARAH