KUALA LUMPUR – Kemasukan pelajar di beberapa institusi pengajian Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terjejas akibat bencana banjir ditangguhkan.
MARA dalam satu kenyataan media memberitahu, penangguhan itu diberikan terhadap kemasukan pelajar bagi sesi pengajian Januari 2015.
“Kesemua institusi pengajian dibawah MARA yang terjejas ditangguhkan sehingga keadaan pulih seperti seperti biasa,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, institusi pengajian dibawah MARA adalah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), GiatMara, Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM).
Turut dikendalikan oleh MARA adalah Koleh Poly-Tech MARA (KPTM), Kolej Profesional MARA (KPM), Koleh MARA (KM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui media, portal MARA www.mara.gov.my dan laman sosial Facebook MARA,” kata kenyataan itu.