KUDAT – Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika menangkap ikan di kawasan perairan Narutong Malawali, dekat sini Khamis lepas, ditemui, petang semalam.
Mayat Fajir Rojar, 24, ditemui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam keadaan terapung pada 3.16 petang di kawasan perairan itu, iaitu kira-kira 2.5 batu nautika dari sini.
Pegawai Operasi APMM Kudat Lt. Maritim Rody Anak Bejei berkata dengan penemuan itu, operasi mencari mangsa yang turut disertai Jabatan Pertahanan Awam Kota Marudu ditamatkan pada 6.30 petang, semalam.
Mangsa dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada bot nelayan yang dinaiki bersama-sama 10 awak-awak. – BERNAMA