KUALA LUMPUR – Hanya tinggal kira-kira tiga bulan sahaja lagi sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pemilik perniagaan berada di saat akhir untuk mendaftarkan perniagaan mereka dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sehingga kini sejumlah 188,596 daripada anggaran 300,000 layak untuk pendaftaran GST, telah berdaftar dengan jabatan itu, melepasi sasaran kerajaan 140,000 syarikat pada akhir Disember.
Jumlah yang tinggi ini adalah petunjuk baik hasil usaha gigih kerajaan untuk mendidik pemilik perniagaan dan rakyat yang berkaitan mengenai kepentingan melaksanakan GST di Malaysia.
Perniagaan dengan perolehan jualan tahunan lebih daripada RM500,000 dikehendaki mendaftar dengan jabatan itu sebelum 31 Dis ini.
Mereka yang gagal mematuhinya boleh dikenakan denda sehingga RM20,000. Bagi pendaftaran lewat hukuman minimum RM1,500 dan maksimum RM20,000 akan dikenakan selepas 30 hari selepas pelaksanaan GST pada 1 April 2015.
Pemilik perniagaan yang jualan tahunannya kurang daripada RM500,000 boleh secara sukarela mendaftarkan syarikat mereka, tetapi mereka perlu memastikan perniagaan mereka kekal berdaftar untuk sekurang-kurangnya dua tahun.
Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian di gst.customs.gov.my atau secara manual dengan mengemukakan borang berkaitan ke pejabat Jabatan Kastam di Kelana Jaya, Selangor.
GST adalah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas semua pembekalan barang bercukai dan ia akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan sedia ada.
Beberapa kumpulan barangan, iaitu barangan makanan asas seperti beras dan tepung; pengangkutan awam; penjagaan kesihatan dan pendidikan telah diklasifikasikan sebagai berkadar sifar, dan yang demikian dikecualikan daripada GST.
MENDIDIK RAKYAT TENTANG GST
Sehingga kini, Kementerian Kewangan telah menjalankan sejumlah 620 sesi taklimat mengenai GST untuk membantu rakyat Malaysia memahami mekanik asas cukai dan bagaimana ia berfungsi, serta implikasinya.
Setelah selesai taklimat peringkat negeri tahun lepas, kerajaan setakat ini telah mengadakan taklimat di 134 kawasan Parlimen seluruh negara. Empat sesi diadakan di setiap kawasan pilihan raya dengan taklimat dikendalikan oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Kastam dan pemimpin masyarakat tempatan.
Di dalam Bajet 2014, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk menjalankan program kesedaran dan latihan GST di seluruh negara melalui pelbagai saluran. Sejumlah RM150 juta lagi diperuntukkan bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menaik taraf perisian perakaunan patuh GST.
GST dilaporkan akan membantu Malaysia mencapai bajet lebihan pada tahun 2020 kerana kerajaan dijangka mengutip RM23.1 bilion dan RM32 bilion dalam pendapatan GST masing-masing pada 2015 dan 2016.
Pada masa ini, 160 buah negara melaksanakan GST, termasuk tujuh negara anggota Asean.
Di kalangan negara Asean, Indonesia adalah yang pertama untuk melaksanakan GST pada 1984, diikuti oleh Filipina (1988), Thailand (1992), Singapura (1994), Vietnam (1999), Kemboja (1999) dan Laos (2009).
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, Jabatan Kastam kini di dalam proses pengambilan 677 petugas baharu, tambahan untuk meningkatkan kekuatan sedia ada yang berjumlah 1,227 pekerja.
Menurut Pengerusi Institut Percukaian Berkanun Malaysia (CTIM), SM Thanneermalai, Jabatan Kastam telah melakukan yang terbaik untuk mendidik kedua-dua rakyat dan pemilik perniagaan mengenai rejim percukaian baharu dan sebab-sebab ia dilaksanakan.
“Mereka (pegawai Kastam) sangat sibuk sepanjang tahun ini dan telah mengelilingi seluruh pelosok negara mengadakan sesi taklimat… pada masa yang sama organisasi swasta seperti kami turut mengadakan seminar dan acara untuk membantu kerajaan bagi memastikan pelaksanaan GST yang lancar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
MENGADAKAN PERUNDANGAN SEWAJARNYA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tentang pelaksanaan GST semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas. Sejak itu, kerajaan telah menggubal undang-undang dan peraturan untuk memudahkan peralihan kepada rejim GST.
Rang Undang-undang Barang dan Perkhidmatan 2014 telah diluluskan Dewan Rakyat pada 7 April tahun ini dan diwartakan pada 19 Jun untuk memberi laluan kepada pelaksanaan rejim GST pada kadar enam peratus di Malaysia.
Peraturan-peraturan tambahan lain yang diwartakan adalah Peraturan-peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Ketetapan Awal) 2014 (diwartakan pada 30 Jun), dan Peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan (Kajian Semula dan Rayuan) 2014 dan Peraturan-Peraturan Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014, yang diwartakan pada 1 Julai.
Selain itu, sebanyak 10 perintah telah disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan, berkaitan dengan pendaftaran senarai item yang berkadar sifar, dikecualikan, standard dan diberi pelepasan daripada GST.
10 perintah berkenaan adalah: Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa; Penetapan Tarikh Efektif bagi Pengenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Amaun Pembekalan Bercukai) 2014; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Kadar Cukai) 2014; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemakaian Kepada Kerajaan) 2014; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Fi Permohonan Ejen Cukai) 2014; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pengenaan Cukai bagi Pembekalan Berkenaan Dengan Kawasan Ditetapkan) 2014; Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan); Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar); dan Senarai Ubat Penting Kebangsaan dan Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pelepasan) 2014.
Naib Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia Prof Datuk Dr Norma Mansor berkata undang-undang dan peraturan-peraturan adalah penting bukan sahaja untuk memudahkan pelaksanaan GST tetapi juga untuk mengelakkan peniaga yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan pelaksanaan cukai baharu untuk menaikkan harga sewenang-wenangnya.
GARIS PANDUAN DAN BUKU PANDUAN GST
Jabatan Kastam juga telah mengeluarkan Panduan Ejen Cukai serta 49 garis panduan industri dan 16 garis panduan khusus yang lain bagi membolehkan perniagaan mendapatkan gambaran lebih jelas dalam fungsi GST.
Pada September tahun ini, Najib turut melancarkan dua buah buku yang bertajuk ‘Buku Panduan Cukai Barang dan Perkhidmatan untuk Perniagaan’ dan ‘Buku Panduan Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan’.
Sebagai insentif kepada IKS, kerajaan juga mengumumkan e-baucar bernilai RM1,000, yang boleh digunakan pengusaha IKS dalam pembelian sistem perakaunan patuh GST.
Thanneermalai berkata sebaik sahaja pelaksanaan GST itu berjalan lancar, perniagaan perlu melakukan input semua fakta dan angka untuk memastikan transaksi yang berkaitan direkodkan dengan betul.
“Pada peringkat awal pelaksanaan, mereka mungkin memerlukan sedikit bantuan tetapi apabila mereka mempunyai perisian tersebut dan memahaminya, GST akan menjadi cukai rutin,” katanya.
Kementerian Kewangan telah menyiapkan sistem pengkomputeran MyGST untuk memudahkan pelaksanaan GST. Sistem ini sedang diuji untuk memastikan bahawa ia adalah sifar kerosakan.
RAKYAT MALAYSIA MULA MEMAHAMI DAN MENERIMA GST
Majoriti rakyat Malaysia kini mula memahami apakah GST dan mereka juga menerimanya sebagai sistem percukaian yang berkesan, telus dan adil yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang.
Pada Oktober, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kebanyakan orang sedar bahawa GST adalah perlu untuk mengukuhkan ekonomi dan membangunkan negara.
Beliau berkata rakyat, bagaimanapun, khuatir ia boleh membawa kepada peningkatan dalam kos sara hidup, dan menambah kata bahawa kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengurangkan kesan GST ke atas harga barangan dan perkhidmatan.
Thanneermalai berkata walaupun pada awalnya rakyat berasa keliru, tahap penerimaan mereka telah meningkat secara beransur-ansur.
“Sekarang, saya fikir mereka semua berpendapat bahawa GST akan dilaksanakan tidak lama lagi. Dan perbincangan kini bukan lagi mengenai adakah ia perlu diperkenalkan atau tidak tetapi bagaimana kita akan melaksanakannya,” katanya. – BERNAMA