Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Negara Akan Harungi Gelora...

KUALA LUMPUR - Di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, negara...

PDRM Terus Komited Turunkan...

MELAKA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus komited untuk menurunkan lagi kadar jenayah...

Jurujual Didenda RM5,000 Kerana...

GEORGETOWN - Gara-gara memiliki 4,400 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM344, seorang...

Syed Saddiq Mahu Bekas...

SUNGAI BULOH — Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata...

Mohamad Asri ‘Hidup Semula’ Atas Denyut Jantung Orang Lain

“SESUNGGUHNYA kejadian ini benar-benar satu keajaiban,” sayup tapi jelas, kata-kata itu menerjah pendengaran Mohamad Asri Zulkipli, 54.

Ayat di atas merupakan luahan seorang doktor di Institut Jantung Negara (IJN) ketika merawat Asri yang sudah sekian lama bertarung dengan masalah organ yang mengepam darah ke seluruh tubuhnya itu.

Ia membuatkan Asri tambah bersyukur kerana sedar, nadinya masih terus berdenyut selepas Maha Pencipta menggerakkan hati seorang insan untuk mendermakan organ penting tersebut meskipun kepada seseorang yang tak dikenali.

http://youtu.be/i9jxS5WVIf0

Siapa sangka, tanpa bersua muka dengan pemilik jantung dalam tubuhnya sekarang, bapa empat anak ini mampu menjalani kehidupan seharian seperti sedia kala bersandarkan pemberian berharga tersebut.

Betapa mulia pengorbanan insan yang mendermakan jantung kepadanya, kerana ia telah memberi sinar baharu bukan sahaja kepada Asri malahan buat isteri dan anak-anak yang masih memerlukannya.

Masuk Senarai Menunggu

Umpama sebuah beg berdenyut yang tak henti bekerja meskipun ketika manusia tertidur – jantung amat penting berkeadaan baik untuk memastikan darah mengandungi oksigen terus dipam ke seluruh badan.

Mohamad Asri bersama wartawan Mynewshub.cc Farah Hasunah ketika berkongsi pengalaman sebagai penerima organ baru-baru ini. - Foto MYNEWSHUB.CC
Mohamad Asri berkongsi pengalaman berharga bersama wartawan Mynewshub selaku penerima organ jantung.

Asri berkata, dia mula menyedari kesakitan pada jantungnya ketika melaksanakan pekerjaan sebagai penerbit sebuah program televisyen membabitkan sebuah stesen TV berbayar di negara ini, di mana tugasan ketika itu memerlukannya berada di tengah lautan.

Sejak itu, kesakitan pada dada kerap dialami hingga dia memutuskan untuk berjumpa doktor.

Alangkah terkejutnya Asri, apabila doktor memberitahu pemeriksaan mengesahkan jantungnya sudah membengkak dan mulai gagal berfungsi.

Sejak 2005 itulah, namanya tersenarai sebagai pesakit yang menunggu organ jantung.

Sememangnya bukan mudah untuk terpilih menerima organ tersebut memandangkan senarai pesakit yang menunggu terlalu ramai dan organ tersebut, perlu diuji bersesuaian dengan tubuh penerima.

Kriteria untuk memastikan jantung layak diterima pesakit antaranya punyai jenis darah dan saiz tubuh badan sama, juga memenuhi beberapa syarat lain agar menepati kesesuaian organ tersebut.

Jantung Baru

Setelah menunggu hampir 6 tahun, akhirnya organ jantung milik seorang lelaki dari Pulau Pinang menjadi sebahagian dari tubuh Asri, tanggal 20 Februari 2011.

Namun, ianya tidak semudah yang diharapkan.

Mengimbau saat getir usai pembedahan, Asri didapati tidak sedarkan diri selama dua hari hingga terpaksa bergantung hidup dengan sebuah mesin bagi memastikan jantung yang baru diterimanya terus berdenyut.

Akhirnya, dia kembali sedar namun perlu pula jalani proses penyembuhan yang mengambil tempoh agak lama iaitu kira-kira setahun.


Dalam tempoh setahun itu, Asri terpaksa mengharung rawatan demi rawatan perubatan, menjaga pemakanan dan melakukan senaman seperti disarankan doktor yang merawatnya.

Ramai Mengharap

Mengulas tentang amalan menderma organ pada hari ini, Asri menyifatkan sambutan orang ramai dilihat kian baik berbanding dahulu hinggakan ramai pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapat organ diperlukan.

Akibatnya, ramai yang meninggal dunia sebelum dapat menjalani pembedahan pemindahan organ.

Begitu pun Asri mengakui, individu yang berikrar sebagai penderma organ dari kalangan orang Islam masih amat sedikit berbanding penganut agama lain.

Mohamad Asri Zulkipli

“Dahulu kurang orang Melayu Islam yang mendaftar sebagai penderma.. mungkin disebabkan persepsi tertentu.

“Bagaimanapun Alhamdulillah setelah banyak penerangan perihal perkara ini dari sudut Islam dihebahkan, kini ada perkembangan baik,” kata Asri ketika ditemui Mynewshub di sebuah lapangan latihan golf di Shah Alam.

Tambahnya, pesakit memang perlu menunggu agak lama selepas tersenarai untuk menerima organ kerana bilangan pesakit terus bertambah tetapi bekalan organ daripada penderma amat sukar untuk diperoleh.

Bagi organ penting seperti jantung yang diperoleh Asri, ia lebih-lebih lagi sukar memandangkan hanya boleh diambil daripada penderma yang telah meninggal dunia.

Justeru, menunggu organ baharu memerlukan kesabaran yang tinggi.

Kehidupan Hari Ini

Hari ini, Asri bersyukur kerana dia tidak menghadapi masalah menjalani kehidupan seperti biasa menggunakan jantung daripada penderma.

Pendermaan jantung tersebut bukan sahaja menyambung hayatnya malah membolehkan Asri terus melakukan banyak perkara yang digemarinya termasuk bermain golf bersama rakan-rakan.


Asri_4

Paling utama, jantung sumbangan insan berhati mulia tersebut membolehkannya terus aktif menguruskan syarikat produksinya yang menawarkan perkhidmatan berkaitan penyiaran. – MYNEWSHUB.CC

Oleh : FARA H & IBNU K 

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori