Oleh Suziela Che Mat
KUALA LUMPUR — Negara kehilangan sebutir permata di dunia perfileman Melayu klasik dengan perginya seniman karismatik Datuk Mustapha Maarof awal hari ini.
Mustapha atau nama sebenar Mustapha Azhari Maarof, 79, menghembus nafas terakhirnya pada pukul 8.40 pagi di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di sini setelah dua minggu mendapatkan rawatan akibat penyakit paru-paru.
Beliau pada mulanya hanya mengalami sesak nafas pada 24 Nov lalu dan dimasukkan ke Institut Perubatan Respiratori (IPR), Hospital Kuala Lumpur.
Anak perempuan Allahyarham, Ezlyna, 46, ketika dihubungi Bernama berkata beliau reda dengan pemergian tersebut tambahan pula sempat mendengar bapanya mengucapkan kalimah syahadah.
“Sewaktu bapa menghembuskan nafas terakhir, semua anak-anak dan ahli keluarga terdekat ada di sisi.
“Sebelum itu bapa sempat berpesan agar kami (anak-anak Allahyarham) terus mengingati serta menyambung tradisi seninya,” kata Ezlyna.
AL-FATIHAH: Datuk Mustapha Maarof Meninggal Dunia
Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang amat prihatin dan komited terhadap bidang seni yang dianggap seperti darah dagingnya.
Perjalanan hidup Mustapha sebagai anak seni dicatatkan di dalam sebuah biografi yang ditulis oleh Pengarang Hiburan Edisi Mingguan BH, Akmal Abdullah berjudul ‘Seniman Merentas Zaman’.
Buku setebal 233 halaman itu antara lain menceritakan perjalanan tokoh perfileman itu sepanjang 60 tahun, iaitu sejak zaman kecilnya hingga era kegemilangan bergelar pelakon, membintangi 53 filem, dan kehidupan terkini.
Dilahirkan di Taman Tasik Perdana Kuala Lumpur, pada 1 Jan 1935, dengan latar belakang bukan sebagai anak seni, malah bapanya Ma’arof Zakaria adalah seorang profesional Melayu terkenal pada era 1940-an.
Ma’arof pernah menjadi Majistret dan Pendakwa Raya pada zaman penjajahan British.
Mustapha mula meminati bidang seni ketika beliau berpindah ke Mambau, Negeri Sembilan, selepas kematian bapanya dan membesar serta bersekolah di Sekolah King
George V, Seremban.
Bagaimanapun kerana terlalu kerap terganggu sejak kematian bapa tersayang, Mustapha tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan sering ke Pekan Seremban untuk menonton wayang.
Mustapha pasti tidak melepaskan peluang menonton apa juga jenis filem yang ditayangkan di pawagam malah sanggup menonton sesebuah filem yang cukup menarik minatnya berulang kali lantas menyuburkan rasa cintanya terhadap dunia layar perak.
Beliau memulakan kerjaya seninya pada usia 18 tahun di Singapura iaitu sekitar tahun 1953 sebagai pelakon di Syarikat Keris Films.
Filem pertama lakonannya berjudul ‘Sesuap Nasi’.
Bermula dari saat itu, atas usaha dan kesungguhan dalam bidang yang diceburinya, Mustapha terus meniti zaman kegemilangannya dan membintangi filem-filem yang mendapat sambutan hebat di seluruh Tanah Melayu dan Singapura sekitar tahun 1957.
Antara filem popular pernah dibintangi Allahyarham ialah Hang Tuah, yang dilakonkan bersama seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, Raden Mas, Pontianak, Bawang Putih Bawang Merah, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Matinya Seorang Patriot dan Naga Tasik Chini.
Pelakon, Pengarah Filem, Penerbit TV, juga salah seorang pengasas Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) itu pernah berkahwin dengan seniwati Roseyatimah dan mempunyai tiga orang anak iaitu, Ezlyna, Khairuddin (meninggal dunia) dan Mohamad Rizaimuddin.
Pada 2003 Mustapha dilantik sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Beliau juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) dan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM).
Jenazah Mustapha selamat dikebumikan bersebelahan pusara isterinya Roseyatimah di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, di ibu negara kira-kira pukul 3 petang ini selepas solat Zohor. — BERNAMA
Bawang Putih Bawang Merah – Bunga Hutan