Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijemput bermain golf oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Barrack Obama di Lapangan Golf Klippers Kanehoe di Pangkalan Unit Marin, Amerika Syarikat di Pulau Hawaii, semalam.
Memetik laporan The Washington Post hari ini, Najib merupakan antara empat orang termasuk petugas White House Joe Paulsen dan Mike Brush bermain golf bersama Obama ketika pemimpin kuasa besar dunia itu sedang bercuti Krismas bersama keluarganya.
Tahun lepas, Obama bermain golf bersama Perdana Menteri New Zealand, John Key.
MENARIK – Barrack Obama Sokong Pentadbiran Najib
Jemputan berkenaan difahamkan ialah bagi mengukuhkan hubungan kerja yang lebih baik antara Obama dan Najib, selepas Presiden Amerika itu mengadakan lawatan julung-julung kali ke Malaysia April lepas.
White House dalam kenyataannya menyebut Obama dan Najib mengambil peluang untuk berbincang bagi mengukuhkan hubungan antara AS dan Malaysia.
“Presiden (Obama) juga berharap dapat terus bekerjasama dengan Perdana Menteri Najib pada 2015, semasa Malaysia mempengerusikan Asean.”
Sepanjang sesi riadah itu, wakil media turut dibenarkan menghampiri lubang ke-18 dimana kedua-dua pemimpin itu dilihat melepasi sasaran ketika melakukan pukulan masing-masing.
Kemesraan keduanya jelas kelihatan apabila Obama menepuk bahu Najib seolah-olah menenangkan Perdana Menteri Malaysia itu. – MYNEWSHUB.CC