SINGAPURA- Operasi Mencari dan Mengesan (SAL) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang hilang akan diteruskan Selasa setelah operasi itu pada Isnin dihentikan menjelang malam.
Sekalipun terdapat laporan yang pesawat itu berkemungkinan berada di dasar laut, operasi SAL yang diketuai Indonesia, bersama Singapura dan Malaysia, masih belum dapat mempastikan lokasi sebenar pesawat.
Penerbangan QZ8501, sebuah Airbus A320-200 yang membawa 162 orang, berlepas pada 5.20 pagi Ahad dari Surabaya, Indonesia, dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada 8.30 pagi yang sama.
Ia akhir sekali mengadakan kontak dengan Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).
Awal hari ini, Indonesia menerima tawaran Singapura untuk menghantar dua pasukan pakar dan dua set pengesan ‘underwater locator beacon’ dari Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) Kementerian Pengangkutan Singapura untuk membantu mengesan perakam data penerbangan pesawat hilang itu.-BERNAMA