Thursday, November 28, 2024

Creating liberating content

Inilah Gadis Sebenar Di...

INILAH wajah gadis berusia 23 tahun, Anneliese Michel dari Jerman yang dirasuk oleh...

Yadim Bakal ‘Lari’ Daripada...

PAS menyifatkan penstrukturan baharu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di bawah Pakatan Harapan...

Rentetan Isu Rasuah Sangat...

BANYAK yang mendukacitakan kita sebagai Melayu apabila bercakap soal rasuah. Melayu memimpin negara...

Jarmila Mara Ke Separuh...

KUALA LUMPUR - Pemain pilihan keempat, Jarmila Gajdosova dari Australia melangkah ke suku...

Orang Buta Jual Tisu Perolehi Pendapatan RM2,500 Sebulan

KUALA LUMPUR – Menjadi tukang urut, menyanyi di kaki lima, menganyam bakul atau menjual tisu merupakan aktiviti mencari rezeki yang sudah sinonim dengan golongan cacat penglihatan di negara kita.

Namun begitu, hasil pemerhatian mStar Online selama beberapa minggu telah mendapati, dalam semua aktiviti tersebut, menjual tisu merupakan yang ‘paling lumayan’ dan paling mudah memperolehi wang.

Ia telah mendatangkan hasil yang besar sehinggakan mereka bukan sahaja mampu mengupah pengiring yang celik malah mampu menggaji pemandu.

mStar mendapati, kebanyakan orang buta yang memilih menjalankan aktiviti ini mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan sedangkan lain-lain pekerjaan golongan cacat penglihatan seperti tukang urut, penjual kerepek atau bakul mahupun mereka yang menyanyi di kaki lima sekitar RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

Malah jika penjual tisu ini rajin menjalankan aktiviti mereka sehingga ke luar ibu kota, pendapatan bulanan adalah lebih dari itu.

Angka itu belum lagi diambil kira bantuan yang diperolehi secara bulanan dan tetap daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu sekitar RM150 hingga RM300.

Seperkara lagi yang menarik ialah, hasil pemerhatian ini, mStar turut mengenali beberapa istilah yang digunapakai di kalangan masyarakat golongan cacat penglihatan itu sendiri bagi menggambarkan aktiviti mencari rezeki atau pekerjaan masing-masing.

Bagi aktiviti menjual tisu, gelarannya agak pelik, iaitu ‘menangkap’ manakala bagi pengiring mereka yang celik, ia dipanggil ‘penarik’.

Istilah lain yang wujud termasuklah ‘mengetin’ (menyanyi di kaki lima), ‘menangguk’ (seorang diri jual tisu atau kacang) dan ‘Halo Cik'(jual kerepek).

Bahagi Tiga

Percaya atau tidak, dalam semua pekerjaan yang biasa dibuat oleh orang buta, kerja ‘menangkap’ adalah yang paling senang dan mendapat hasil ‘kencang’.

“Orang buta tak boleh ‘menangkap’ seorang diri, jadi mereka upah ‘penarik’.

“Kumpulan ini adalah yang paling banyak memperolehi pendapatan di kalangan semua aktiviti golongan cacat penglihatan malah mengatasi jumlah pendapatan tukang urut. Mereka mampu bayar penarik dan ramai juga sekarang yang sudah mula mengupah pemandu untuk bergerak lebih jauh atau ‘out-station’,” dedah seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Mazlan, kepada mStar Online.

Mazlan yang bekerja sendiri di ibu kota berkata, kerja ‘menangkap’ yang dibawa oleh seorang pemandu khas biasanya dilakukan dua kali sehari.

Si penjual tisu yang buta tidak perlu bimbang ditipu oleh penarik yang biasanya warga Indonesia atau pun pemandu kerana masing-masing telah bersetuju untuk mengagihkan ‘hasil tangkapan’ secara sama rata.

“Kalau dapat RM300 sekali keluar, duit itu akan dibahagi tiga iaitu untuk penjual, pengiring dan pemandu,” katanya lagi.

Mazlan menambah, perkara itu diketahui daripada rakan-rakannya yang kebanyakannya menjalankan aktiviti tersebut dan tanpa segan-silu bercerita mengenai pendapatan ‘mewah’ mereka dengan mudah.

Tambahnya, selain mempunyai ‘pemandu’, hasil lumayan mereka juga biasanya diterjemah melalui gaya hidup yang lebih senang, termasuklah telefon bimbit pintar.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemandu yang diupah, Mazlan berkata kebanyakan mereka dipertanggungjawabkan untuk membawa si penjual tisu dan pengiring ke lokasi-lokasi tertentu yang dianggap sebagai ‘lubuk emas’.

Di ibu kota, kawasan yang sering menjadi tumpuan mereka ialah Bangsar, Bukit Bintang, Chow Kit, Danau Kota dan Kampung Baru.


Kawasan-kawasan ini mempunyai kawasan tumpuan gerai makan dan medan selera yang popular dan banyak.

Mengembangkan Empayar ‘Menangkap’

Namun, katanya sejak akhir-akhir ini ramai pemandu diminta supaya mengembangkan kawasan tangkapan oleh si penjual tisu yang bertindak sebagai bos mereka dalam memilih lokasi untuk menjual tisu.

“Mereka kini meminta pemandu membawa mereka pergi ‘menangkap’ di luar Kuala Lumpur seperti ke Johor, Negeri Sembilan atau Kedah.

“Persaingan di luar Kuala Lumpur adalah kurang dan masyarakat lebih bermurah hati untuk ‘membeli’ tisu dan bersedekah berbanding orang di sini yang semakin berkira-kira untuk bersedekah kerana saban hari diganggu oleh penjual tisu,” katanya lagi.

Sementara itu, Pak Ali (bukan nama sebenar) yang menjadikan kerja membawa orang buta pergi menangkap sebagai kerja sambilan sejak tahun lepas mengakui bayaran yang diterimanya mampu menampung kos sara hidup keluarga.

Kata Pak Ali, dia tidak mempunyai jadual tetap untuk pekerjaannya itu, sebaliknya hanya menunggu panggilan telefon oleh mana-mana orang buta yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Jelas Pak Ali lagi, walaupun ramai yang keluar menangkap hampir setiap hari, namun mereka tidak menggunakan khidmat pemandu pada setiap masa.

“Kalau menangkap tempat yang dekat-dekat mereka naik LRT atau teksi sahaja, lebih murah kosnya.Tapi kalau mereka mahu pergi jauh, mereka akan telefon saya dan minta saya menjemput dan menghantar mereka ke lokasi tertentu,” ujarnya.

Pak Ali menambah, kebiasaannya dia dibayar antara RM60 hingga RM150 setiap kali membawa orang buta ‘menangkap’ dan pengiraan akan dilakukan bersama-sama dalam kereta selepas selesai aktiviti ‘menangkap’.

“Selama saya buat kerja ini belum pernah timbul masalah tentang bayaran. Pernah juga saya terfikir mereka (penarik dan orang buta) mungkin berpakat tipu saya tapi saya rasa perkara itu tak berlaku. Saya percaya mereka,” tegas Pak Ali yang memandu Proton Iswara.

Jelas Pak Ali, ada juga orang buta yang meminta dia sendiri yang mengira hasil yang diperolehi mereka.

Dalam pada itu, Pak Ali turut mengakui ada rakan-rakannya yang membawa orang buta pergi ‘menangkap’ di luar Selangor dan Kuala Lumpur.

Malah, dia sendiri pernah ditawarkan oleh orang buta untuk pergi ke Johor dan Melaka.

“Tetapi saya tolak sebab keadaan kereta saya yang tidak mengizinkan. Setakat Kuala Lumpur dan Lembah Klang tak ada masalah nak bawa mereka,” katanya.

Mengenai lokasi menangkap, Pak Ali berkata keputusan biasanya dibuat melalui perbincangan bersama. Namun katanya, ada juga orang buta yang menyerahkan keputusan memilih lokasi menangkap dibuat oleh pengiring mereka.

Mengulas perkembangan terkini pekerjaannya yang sering berdampingan dengan orang buta, Pak Ali berkata pada masa ini pemilihan lokasi ‘menangkap’ perlu dibuat dengan tepat bagi memastikan orang buta, pengiring dan pemandu tidak pulang dengan tangan kosong.

“Kalau boleh mereka mahu elak daripada bertembung dengan rakan-rakan lain yang menjalankan aktiviti yang sama. Kalau terlalu ramai orang jual tisu di satu tempat atau restoran yang sama, sudah tentulah hasil pendapatan kurang memuaskan. Sebab itu sekarang saya sering diajak pergi jauh sedikit seperti ke Selayang, Gombak atau Ampang,” katanya. – mStar Online

  • Lagi berita berkaitan:
  • OKU

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori