KUALA LUMPUR – PAS akan terus mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan akta itu perlu dikekalkan demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS akan memperhebatkan kempen secara besar-besaran ke seluruh negara untuk menuntut akta itu dihapuskan.
“Pengumuman Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tidak sedikit pun menggugat keyakinan PAS untuk terus memperjuangkan agar akta ini dimansuhkan.
“Bahkan PAS akan memperhebatkan kempen besar-besaran secara menyeluruh ke seluruh negara untuk menuntut pemansuhan Akta Hasutan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahfuz mendakwa, peruntukan Akta Hasutan membuka ruang kepada penguatkuasaan yang selektif dan berat sebelah di atas tujuan politik dan bukan untuk menjaga keamanan negara.
Dakwanya, negara mempunyai peruntukan undang-lain undang yang mencukupi seperti Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk membendung jenayah menanam kebencian dan penghinaan ke atas agama dan kaum.
Ramai pemerhati politik bagaimanapun melihat keputusan mengekal dan menambah baik Akta Hasutan bukti Perdana Menteri mendahulukan kepentingan, keperluan, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat majmuk di Malaysia.
Malah, Najib baru-baru ini menegaskan Akta Hasutan tidak dapat melindungi kepentingan Barisan Nasional (BN) kerana cuma keyakinan rakyat membolehkan parti itu terus mentadbir kerajaan Pusat.