SEREMBAN – Skuad Negeri Sembilan, yang akan bersaing pada Liga Perdana musim depan, akan dikenali sebagai NS Matrix, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata langkah itu diambil sebagai persiapan awal terhadap cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pengswastaan Liga Malaysia bermula 2016.
“Ini merupakan permulaan bagi kita dalam menswastakan PBNS dengan menamakan pasukan ini sebagai NS Matrix di mana syarikat Matrix Concept Bhd menjadi penaja utama serta beberapa lagi agensi korporat yang lain,”kata Mohamad, yang juga Menteri Besar.
“Ini adalah strategi kita ke arah pengswastaan sepenuhnya nanti dan selepas ini, PBNS hanya akan menumpukan perhatian kepada dasar dan pembangunan bola sepak ,sekali gus dapat melepaskan banyak bebanan,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain Liga Perdana Negeri Sembilan 2015, di Centre Court Paroi, hari ini.
Katanya PBNS mendapat tajaan yang memberangsangkan daripada rakan korporat bagi persiapan menghadapi musim 2015, walaupun prestasi pasukan Negeri Sembilan pada 2013 dan musim ini kurang baik.
Katanya PBNS membelanjakan hampir RM10 juta bagi setiap musim 2013 dan 2014, namun disebabkan beberapa faktor yang dikenal pasti, matlamat yang dirancang tidak tercapai malah mengecewakan beliau serta para penyokong.
Mohamad berkata PBNS hanya mengekalkan tujuh pemain termasuk pemain import serta mengambil 15 pemain baharu bagi menghadapi musim 2015 serta mencapai sasaran layak ke Liga Super pada 2016.
Mohamad berkata K. Devan akan mengalas tugas sebagai ketua jurulatih yang baharu pada musim depan dengan dibantu penolong jurulatih Ahmad Osman.
Selain itu, katanya Datuk Ab. Ghani Hassan turut dilantik sebagai pengurus pasukan. – BERNAMA