KEMAMAN – Peminat fanatik pasukan Tok Gajah yang menunaikan nazarnya mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan berjalan kaki kini berada di negeri terakhirnya iaitu Terengganu, sebelum ke garisan penamat iaitu di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Abdul Majid A.Hamid, 59, atau lebih dikenali sebagai Pak Majid memulakan misinya pada 4 Nov lalu selepas skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia dan kini boleh dikatakan sudah 95 peratus menghabiskan perjalanannya merentasi 11 negeri.
Meskipun menghadapi pelbagai kesusahan dan cabaran sewaktu misinya, Pak Majid berkata beliau tetap bersungguh-sungguh dan menghadapi segala cabaran dengan hati terbuka demi memastikan misi menunaikan nazarnya tercapai.
“Pada mulanya perjalanan tidak terlalu sukar, namun setelah pertengahan perjalanan, ketika merentasi Banjaran Titiwangsa naik ke banjaran tersebut mengambil masa 15 jam.
“Ketika turun, dari puncak banjaran ke Batu Melintang, Jeli ambil masa 12 jam, ia sangat mencabar perlu cepat sampai kalau tak, pak cik kena bermalam di tengah hutan,” katanya ketika ditemui Bernama di Felda Neram di sini hari ini.
Pak Majid dijangka tiba di Stadium Darul Makmur Jumaat ini.
Beliau berkata esok dia akan berjalan lagi sejauh 30 kilometer (km) menuju ke Indera Mahkota, Pahang dan Jumaat akan menuju ke garisan penamat dengan anggaran keseluruhan jarak perjalanan yang telah dilaluinya hampir 2,200 km.
Bekas pengawal keselamatan tersebut menunaikan nazarnya setelah Piala Malaysia sekali lagi berjaya menjadi milik skuad Tok Gajah pada tahun ini.
Tahun lalu, beliau turut melakukan kembara solo berjalan kaki selama enam hari bermula 6 Nov dari bandar Kuantan menuju ke Stadium Shah Alam dan kembali ke Kuantan dengan jarak 280 km selepas Pahang muncul juara Piala Malaysia mengalahkan Kelantan.
Pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, 2 Nov lepas, Pahang menewaskan Johor Darul Ta’zim 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan. – BERNAMA