JEMPOL – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Felda Palong 4, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hamzah Alias berkata dalam kejadian pada 11.33 malam itu, Azhar Azri, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perpatih, dekat sini sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Blok 2, Felda Palong 5 dari arah Felda Palong 7 & 8.
“Mangsa yang menunggang motosikal Modenas sedang berada di laluan sebelah kiri jalan.
“Namun, hujan lebat menyebabkan permukaan jalan licin dan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke tengah jalan raya yang menyebabkan motosikalnya dirempuh oleh sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah belakang,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Azhar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala pemandu dan tiga lagi penumpang kereta berkenaan mengalami cedera ringan.
Mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat. – BERNAMA