BUENOS AIRES – Pemain bola sepak Argentina, Franco Nieto yang dipukul dan dibaling batu oleh kumpulan samseng, Sabtu lalu meninggal dunia di hospital, semalam.
Dia terpaksa menjalani pembedahan, Selasa lalu selepas mengalami kecederaan teruk dan ketua polis tempatan, Fabian Bordon memberitahu tiga orang ditahan berhubung serangan berkenaan tempoh hari.
Nieto, 33, adalah kapten pasukan sebuah kelab wilayah, Tiro Federal. Dia diserang kumpulan samseng selepas perlawanan menentang musuh tradisi, Chacarita Juniors di bandar Aimogasta.
Perlawanan dihentikan 15 minit sebelum tamat permainan dan pengadil bertindak membuang lapan pemain yang bergaduh.
Menurut saudara mangsa itu, Pablo Nieto, tiga orang mengepung pemain itu ketika dia berjalan menuju ke kereta bersama isteri dan bayi mereka berusia sebulan.
Kumpulan samseng itu menendang dan menumbuk Franco sebelum salah seorang daripada mereka membaling batu yang terkena kepalanya. Dia tidak sedarkan diri selepas itu.
Tahun ini, 15 orang meninggal dunia berhubung keganasan bola sepak di Argentina. – BBC Sport