Masihkah anda ingat lagi dengan nama Syed Azmi? Seorang yang dikenali kerana menjadi penganjur kepada program ‘I want To Touch A Dog’ yang pernah menjadi kontroversi hangat satu ketika dulu.
Beliau sebelum ini dikatakan sangat rajin menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kini mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai program dakwah jalanan yang bakal dianjurkan oleh kumpulan kebajikannya iaitu kumpulan #tamakpahala.
Aktiviti dakwah jalanan yang dinamakan ‘Street Solat Isya’ ini merupakan salah satu program anjurannya dan ini bukan pertama kali dilakukan.
Program yang bertarikhkan 4 Desember iaitu esok (khamis), pukul 7.50 malam, bertempat di Jalan Tunku Abdul Rahman, di hadapan Bank CIMB.
Peserta yang ingin mengikuti program tersebut perlu membawa Sejadah, Telekung, pakaian solat sesuai, air untuk berwuduk dan ianya terbuka kepada seluruh umat Islam.
Objektif acara kecil ini adalah untuk mendekati mereka yang kehilangan tempat tinggal iaitu warga gelandangan.
Program tersebut memilih untuk melakukan dakwah jalanan di kawasan tempat tinggal gelandangan yang kini menjadi ‘rumah’ untuk 400 insan yang kurang bernasib baik.
Beliau mengajak semua berganding bahu untuk meluangkan masa, usaha dan empati untuk bersatu dalam solat.
Menurut Syed Azmi juga, beliau menerangkan bahawa solat di masjid adalah lebih baik, namun ini adalah satu dakwah untuk bercerita lebih lanjut mengenai kebaikan masjid dan keindahan Islam.
Berdakwah itu ada banyak cara dan ini adalah salah satu usaha untuk mendekati golongan ini supaya lebih dekat dengan agama.
Sumber: Facebook Syed Azmi
Oleh: hzqahmd/MYNEWSHUB.CC