KUALA LUMPUR – Pengarah Bernama TV (BTV) perlu dihukum kerana tidak membayar gaji kakitangan syarikat media tersebut.
Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching berkata, perbuatan itu menyalahi Akta Pekerja 1955 yang mewajibkan setiap majikan membayar gaji pekerja.
“Seksyen 19 ( 1 ) Akta Pekerjaan 1955 mewajibkan majikan membayar pekerja mereka gaji tidak lewat daripada hari ketujuh selepas hari terakhir mana-mana tempoh upah upah.
“Oleh itu semua pengarah, pengurus atau pegawai lain dalam BTV telah melakukan suatu kesalahan di bawah akta itu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan ramai pekerja BTV terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana masih belum dibayar gaji oleh majikan mereka sejak lebih sebulan lalu.
Seorang daripada kakitangan tersebut yang enggan dinamakan dipetik berkata, beliau terpaksa mengambil cuti kerana tidak mampu menanggung kos untuk ke tempat kerja.
Pembayaran gaji terakhir yang diterima adalah pada 20 Oktober dan mereka masih belum menerima bayaran gaji untuk bulan November.
Nie Ching turut mendakwa, BTV tidak penah menghantar Laporan Tahunan bersama-sama Laporan Beraudit Tahunan kepada Pendaftar Syarikat (ROC) yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965 dan boleh dipenjarakan sehingga lima tahun.