CHINA – Seorang pengacara program televisyen yang sanggup berkorban demi anak yang dikandungnya dengan menolak rawatan kimoterapi untuk penyakit kanser, akhirnya meninggal dunia selepas genap 100 hari bayi lelaki itu dilahirkan.
Qiu Yuanyuan, 26, dari Zhengzhou, Henan, tidak mahu menjalani kimoterapi kerana bimbang dengan keadaan bayi dalam kandungannya.
Bayi itu bagaimanapun dilahirkan pramatang melalui pembedahan selepas tujuh bulan berada dalam kandungannya.
Qiu, mula mengetahui bahawa dia mengandung pada bulan Mac lalu dan pada masa sama pemeriksaan kesihatan yang dijalankannya mendapati dia menghidap ketumbuhan.
Selepas menghentikan rawatan kanser itu, penyakit berkenaan telah merebak ke seluruh badannya dan Qiu dimasukkan ke hospital pada bulan September lalu selepas keadaannya menjadi bertambah buruk.
Dia kemudiannya menjalani pembedahan pada bulan September lalu bagi melahirkan bayi lelaki tersebut.
Hanya selepas itu barulah Qiu menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu serta kimoterapi selama 20 hari.
Namun ia telah terlambat dan Qiu meninggal dunia minggu lepas.
Menurut suaminya, Zhang Qixuan, selepas mereka berkahwin, harapan utama isterinya itu adalah untuk memiliki cahaya mata.
“Dia memilih untuk menyelamatkan anak kami. Dia memahami kesannya dan tidak pernah menyesal dengan keputusannya itu.
“Satu-satunya perkara yang saya boleh lakukan ialah menjaga anak ini,’’ katanya.
Berita kematian Qiu didedahkan Jumaat lalu dan lebih 10 juta pengguna Sina Weibo membaca berita tersebut melalui dalam talian.
Pelbagai reaksi diterima dengan ada yang menyokong keputusannya dan tidak kurang pula yang mempersoalkan pengorbanan Qiu menolak kimoterapi semata-mata untuk memiliki cahaya mata.