KUANTAN – Seorang peniaga dihukum penjara lima minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki rokok seludup pelbagai jenama di sini awal bulan ini.
Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Haswardi Hassan, 41, mengaku memiliki rokok seludup berkenaan selepas pertuduhan dibacakan.
Tertuduh didakwa memiliki 92 kotak rokok bernilai RM148.48 yang dilarang pengimportannya di tepi jalan, Jalan Pasar Baru 1, Kuantan, dekat sini pada pukul 9 malam 2 Dis lepas.
Haswardi didakwa mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Nurhafizah Ahmad. – BERNAMA