SEREMBAN – Penjawat awam wanita akan dibenarkan cuti tanpa gaji sehingga lima tahun untuk menjaga anak angkat atau anak tiri mereka di bawah satu peraturan yang berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.
“Peraturan baharu itu adalah untuk memberikan lebih waktu ibu bersama anak walaupun mereka bukan ibu kandung kanak-kanak itu,” kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zabidi Zainal.
Beliau berkata mereka yang menjaga kanak-kanak tersebut secara berterusan selama dua tahun, yang disebut sebagai ‘de facto’ juga layak memohon cuti tanpa gaji selama lima tahun yang boleh diambil secara berterusan atau sebahagian antara anak pertama dan anak-anak yang lain.
Manfaat tersebut, sebelum ini, hanya diberikan kepada mereka yang melahirkan anak dan berhasrat memberikan penjagaan yang lebih baik untuk bayi mereka termasuk penyusuan badan.
Di bawah peraturan yang diperkenalkan pada 2007, ibu kandung dibenarkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selepas menamatkan cuti bersalin dengan gaji selama 90 hari.
Mereka yang mengambil anak angkat atau menjaga kanak-kanak lain sepenuh masa tidak layak menerima manfaat itu.
Mohamad Zabidi berkata tanpa mengira bilangan anak yang perlu mereka jaga, manfaat tersebut tidak akan dilanjutkan melebihi lima tahun bagi golongan tersebut.
Ini bermaksud, sekiranya kakitangan mengambil cuti tanpa gaji selama lima tahun secara berterusan untuk anak pertama, dia tidak lagi mendapat manfaat ini untuk anak-anaknya yang lain.
Sekiranya ibu memilih untuk hanya menggunakan tempoh dua tahun daripada lima tahun yang diberikan untuk anak pertamanya, wanita tersebut mempunyai baki tiga tahun lagi untuk digunakan terhadap anak-anak yang lain pada masa hadapan.
“Tempoh yang digunakan oleh mereka untuk cuti tanpa gaji tidak akan diambil kira apabila kami mengira faedah persaraan mereka,” kata Mohamad Zabidi.
Namun, beliau mengingatkan bahawa mereka yang memohon untuk mendapatkan cuti tanpa gaji mungkin kehilangan senioriti mereka.
Katanya, jika mereka memenuhi kriteria yang sepatutnya, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk dinaikkan pangkat.
Mohamad Zabidi berkata ketua jabatan diberi kuasa untuk memanggil mana-mana pekerja yang sedang bercuti tanpa gaji.
“Jika keadaan terdesak, mana-mana pekerja boleh diminta untuk kembali bekerja,” katanya. – mStar Online