KOTA KINABALU – Fasa Kesebelas perintah berkurung di kawasan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang berakhir hari ini, dilanjut mulai esok hingga 9 Jan dari pukul 7 malam hingga 5 pagi.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata keputusan melanjutkan perintah berkurung yang merangkumi enam daerah itu dibuat berdasarkan faktor keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan, pelancong dan khususnya rayat Sabah.
“Faktor lain ialah bagi memudahkan penguatkuasaan, memantau pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan, menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api,” katanya dalam satu kenyataan.
Jalaluddin berkata perintah berkurung diteruskan berikutan sokongan pengusaha chalet dan aktiviti perikanan dalam menjamin keselamatan perairan termasuk pulau-pulau di persempadanan.
Beliau berkata kuasa telah diberikan kepada semua ketua polis di Daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau lain aktiviti yang mendesak.
Fasa Pertama perintah berkurung di Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau dikuatkuasakan 19 Julai lalu berikutan beberapa insiden penculikan melibatkan rakyat tempatan dan asing di beberapa daerah di timur Sabah. – BERNAMA