KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan membakar sebuah gereja di Jalan Raja Laut yang disebarkan individu di laman Facebook.
Setiausahanya, Syed Hassan Syed Ali, berkata pihaknya mahu tindakan segera diambil terhadap individu yang menggunakan akaun atas nama Ayahanda Raja Provokasi kerana didakwa sengaja mahu memburukkan nama PERKASA, selain mencetuskan kemarahan penganut Kristian yang menyambut Hari Natal pada hari ini.
“Kita hanya menyedari perkara ini pagi tadi. Perkasa merasa amat kecewa dan marah dengan fitnah ini yang dilihat melampau kerana membangkitkan isu perkauman.
“Di sini, saya mewakili ahli-ahli Perkasa menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini. Gambar menunjukkan ahli PERKASA membakar gereja itu adalah palsu dan diubah suai bagi menunjukkan ia seolah-olah berlaku.
“Justeru, saya mahu polis mengambil tindakan segera mengikut Akta Hasutan 1948 terhadap individu biadap ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, sebentar tadi.
SEMENTARA ITU, menurut laporan Bernama, pihak polis turut menafikan maklumat yang tersebar di laman Facebook (FB) kononnya sebuah gereja di Jalan Raja Laut di sini diserang dan dibakar.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama menegaskan ia maklumat palsu dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun laman sosial yang menyebarkannya.
“Tidak benar. Kita akan ambil tindakan ke atas pemilik (akaun) Facebook ini,” katanya.
(Petikan: Berita Harian Online dan Bernama)
DISYORKAN BACA: